
SEREMBAN, 13 Mei- Polis Kontinjen Negeri Sembilan membongkar kegiatan pemprosesan sisa elektronik (ewaste) secara haram menerusi dua operasi bersepadu di Nilai dan Kuala Sawah yang turut merampas 39 mesin serta barangan disyaki bernilai lebih RM47.6 juta.
- Operasi dijalankan bersama JAS, MBS dan KPDN melalui Op E-Waste hasil risikan dan pemeriksaan bersepadu.
- Sebuah premis disewa sejak Januari 2026 pada kadar RM45,000 sebulan; seorang penjaga tempatan berusia 43 tahun ditemui semasa serbuan.
- Tiga kesalahan dikesan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024), termasuk kegagalan laporan penilaian, pelupusan haram dan aktiviti tanpa lesen.
- JAS keluarkan saman, kompaun dan arahan henti operasi; MBS ambil tindakan terhadap tiga premis; polis pertingkat pemantauan dan risikan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Seremban (MBS) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan hasil risikan dan pemeriksaan bersepadu di lokasi terlibat menerusi Op E-Waste.
Beliau berkata pemeriksaan di sebuah premis di Nilai pada 15 April lepas mendapati premis berkenaan beroperasi melalui sewaan kepada pihak lain.
“Berdasarkan risikan, premis ini disewa sejak Januari 2026 dengan kadar RM45,000 sebulan. Pemeriksaan turut mendapati seorang penjaga premis, lelaki tempatan berusia 43 tahun berada di lokasi ketika serbuan dijalankan,” katanya pada sidang media di sini hari ini
Menurutnya, siasatan mendapati tiga kesalahan dikesan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024) iaitu kegagalan mengemukakan laporan penilaian kesan kepada alam sekitar di bawah Seksyen 34A, pelupusan haram buangan terjadual di bawah Seksyen 34B serta menjalankan aktiviti ditetapkan tanpa lesen Ketua Pengarah di bawah Seksyen 18(1), yang jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM11.25 juta.
Beliau berkata JAS Negeri Sembilan juga telah mengeluarkan saman, kompaun serta arahan menghentikan operasi serta-merta terhadap premis terlibat selain melarang sebarang peralatan dipindahkan sehingga siasatan selesai.
Sementara itu, pihak MBS pula mengambil tindakan terhadap tiga premis yang beroperasi tanpa lesen dan kelulusan sah.
Datuk Alzafny menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan pemantauan serta risikan bagi membanteras aktiviti pemprosesan e-waste haram yang boleh menjejaskan keselamatan, kesihatan awam dan alam sekitar.