Dua beradik lemas di Sungai Jeram selamat dikebumikan

Jenazah dua beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeram Manir

KUALA NERUS, 6 April – Dua beradik perempuan yang ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Jeram, Pasar Manir, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeram Manir, kira-kira pukul 3 petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenazah kedua-dua beradik menjalani bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik HoSZA sebelum dituntut keluarga pagi tadi.
  • Solat jenazah disempurnakan pada pukul 2.05 petang sebelum pengebumian dalam suasana hiba.
  • Dua rakan diselamatkan; Noor Shaqira dirawat di hospital dalam keadaan stabil, Nurul Ain tidak mengalami kecederaan serius.
  • Mayat ditemukan di dasar sungai kira-kira 40 meter dari lokasi dengan kedalaman sekitar empat meter.

Jenazah Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalludin, 15 tahun, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Abdul Rahman Limbong, dan adiknya, Nur Shahila Shahirah Azman, 12 tahun, terlebih dahulu menjalani proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), sebelum dituntut keluarga pagi tadi.

Solat jenazah ke atas kedua-dua mangsa disempurnakan pada pukul 2.05 petang sebelum dikebumikan dalam suasana hiba.

Lebih 100 individu terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, guru serta pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Abdul Rahman Limbong dan Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong hadir memberikan penghormatan terakhir di tanah perkuburan berkenaan.

Terdahulu, jenazah Nur Afiqah Shahirah tiba di perkarangan Surau Saidina Umar, Pasar Jeram pada pukul 10.58 pagi, diikuti jenazah adiknya pada pukul 11.20 pagi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, kedua-dua mangsa dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai bersama dua rakan lain.

Dua lagi mangsa, Noor Shaqira Abdul Fatah dan Nurul Ain Fatihah Mohd Zamri, masing-masing berusia 12 tahun, berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang berada di lokasi kejadian.

Noor Shaqira kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan dilaporkan dalam keadaan stabil, manakala Nurul Ain Fatihah tidak mengalami kecederaan serius.

Mayat kedua-dua mangsa ditemukan pasukan penyelamat di dasar sungai, kira-kira 40 meter dari lokasi kejadian dengan kedalaman sekitar empat meter.

Kehilangan tragis dua beradik itu bukan sahaja meruntun hati keluarga, malah turut dirasai seluruh komuniti setempat yang hadir memberi penghormatan terakhir.