PDRM tunggu maklumat lengkap siasatan dakwaan hina Sahabat Nabi – KPN

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail (tengah) melawat pameran pada Majlis Perasmian Penutupan PDRM Special Dialogue (PSD) V 2026 di KLGCC Convention Centre/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu maklumat lanjut bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan kenyataan menghina sahabat Nabi Muhammad SAW yang melibatkan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Polis Negara: isu dalam perhatian, tindakan susulan selepas penelitian maklumat selesai.
  • PDRM menunggu maklumat daripada pihak berkaitan sebelum meneruskan siasatan.
  • Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan PDRM Special Dialogue V 2026.
  • Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi didakwa menghina beberapa sahabat Nabi; beliau memohon maaf dan mengaku kurang cermat.

Menurut Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, perkara itu kini dalam perhatian pihaknya dan tindakan lanjut akan dibuat selepas penelitian terhadap maklumat berkaitan selesai dilakukan.

“Perkara itu masih dalam perhatian dan tindakan kita.

“Sebarang maklumat berhubung isu tersebut kita masih menunggu daripada pihak berkaitan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan PDRM Special Dialogue (PSD) V 2026 di sini, hari ini.

Terdahulu, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi didakwa mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina dan mempersendakan kewibawaan beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW ketika menyampaikan ceramah politik di Terengganu.

Susulan itu, beliau hari ini tampil memohon maaf serta mengakui kurang cermat ketika mengolah dan menyampaikan kenyataan dalam program berkenaan.