
NEW DELHI, 13 Mei – Kemelut hak penyiaran Piala Dunia FIFA 2026 di India kini dibawa ke mahkamah.
- Mahkamah Tinggi Delhi mengeluarkan notis kepada kerajaan dan Prasar Bharti selepas petisyen menuntut siaran langsung Piala Dunia disediakan kepada rakyat.
- FIFA menuntut sekitar AS$100 juta, tetapi JioStar hanya menawarkan kira-kira AS$20 juta, mewujudkan jurang besar dalam bidaan hak siaran.
- Kegagalan memuktamadkan perjanjian berisiko 'blackout' siaran di India, China dan Thailand; pendengaran kes dijadual 20 Mei.
Jutaan peminat bola sepak di negara itu berisiko tidak dapat menyaksikan kejohanan terbesar dunia itu yang dijadual bermula kurang sebulan lagi.
Mahkamah Tinggi Delhi pada Selasa mengeluarkan notis kepada kerajaan India dan penyiar awam Prasar Bharti bagi menjawab petisyen difailkan seorang peguam yang menuntut siaran langsung kejohanan itu disediakan kepada rakyat.
Petisyen berkenaan mendakwa kegagalan memuktamadkan perjanjian penyiaran telah menafikan “hak asasi rakyat untuk menerima maklumat”, lebih-lebih lagi apabila Piala Dunia diklasifikasikan sebagai acara sukan berkepentingan nasional di India.
“India merupakan antara beberapa pasaran utama dunia yang masih belum mempunyai penyiar rasmi,” menurut petisyen yang dikemukakan.
Menurut laporan tempatan, FIFA meminta sekitar AS$100 juta daripada syarikat penyiaran yang mahu menyiarkan Piala Dunia 2026 dan 2030, namun setakat ini JioStar hanya menawarkan kira-kira AS$20 juta.
Selain India, China dan Thailand juga masih belum memeterai perjanjian penyiaran, sekali gus mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlaku ‘blackout’ siaran di beberapa negara Asia apabila kejohanan bermula pada 11 Jun nanti.
Pendengaran seterusnya kes itu dijadual berlangsung pada 20 Mei.
Piala Dunia kali ini dianjurkan secara bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Penyiar di Asia dilaporkan berhati-hati membida hak siaran berikutan kebimbangan waktu sepak mula lewat malam boleh menjejaskan jumlah penonton dan hasil pengiklanan.
India yang mempunyai populasi 1.4 bilion penduduk juga tidak layak ke kejohanan itu. – AFP