
MEXICO CITY, 12 Mei – Menjelang Piala Dunia FIFA 2026, perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) yang dinaik taraf dirasmikan pada Isnin bagi meningkatkan aksesibiliti buat pengguna pada temasya berkenaan.
- Projek melibatkan 17 tren elektrik baru, menjadikan jumlah keseluruhan 35 tren.
- Kapasiti penumpang harian dijangka meningkat daripada 130,000 kepada 250,000, hampir dua kali ganda.
- Laluan LRT menghubungkan Tasquena ke Xochimilco termasuk stesen di Stadium Banorte; kerja naik taraf Azteca Stadium masih diteruskan.
Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada berkata, projek infrastruktur utama itu melibatkan 17 tren elektrik baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 35 tren.
Menurut beliau, peningkatan itu dijangka menggandakan kapasiti penumpang harian daripada 130,000 kepada 250,000 orang.

“Hari ini kita mempersembahkan pemodenan menyeluruh sistem rel ringan. Kita sentiasa menyatakan tulang belakang mobiliti ialah metro. Kini, tulang belakang mobiliti di bahagian selatan bandar ini sememangnya rel ringan yang dikenali sebagai ‘The Axolotl’.
“Ini antara projek paling penting dalam tempoh satu setengah tahun pertama pentadbiran kami. Ia projek yang kami tekad untuk siapkan mengikut jadual dengan sempurna, dan hari ini ia berjaya disiapkan sebulan lebih awal menjelang Piala Dunia,” katanya.

Laluan LRT tersebut akan menghubungkan Tasquena ke Xochimilco termasuk stesen di Stadium Banorte yang akan menjadi lokasi penganjuran beberapa perlawanan kejohanan bola sepak dunia itu.
Kerja naik taraf stadium berkenaan yang turut dikenali sebagai Azteca Stadium masih diteruskan menjelang sepak mula kejohanan pada 11 Jun depan. – Reuters