
KUALA LUMPUR, 12 Mei – BMI yang juga unit Fitch Solutions, menganggap Malaysia sebagai mengutamakan projek-projek bernilai tinggi dan berintensifkan modal dengan memuktamadkan dasar hanya meluluskan pusat data kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan modal lebih besar.
- Perdana Menteri umum pada Feb 2026 bahawa cadangan pusat data bukan AI dihentikan sejak 2024.
- BMI: Perancangan Malaysia kini hampir sepenuhnya menumpukan kepada AI dengan kapasiti dirancang dan dalam pembinaan sebanyak 4.6 gigawatt.
- Filipina dan Vietnam menunjukkan aplikasi AI terhad; Indonesia, Thailand dan Filipina dijangka berusaha tarik permintaan yang dialihkan.
- Malaysia menolak hampir 30 peratus cadangan pusat data yang gagal memaparkan amalan penggunaan air dan tenaga bertanggungjawab.
Menerusi nota penyelidikannya, BMI menyatakan pandangan itu diperkukuhkan lagi oleh dasar yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari 2026 dengan cadangan pusat data bukan berkaitan AI di Malaysia telah dihentikan sejak 2024.
Menurut BMI, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Malaysia untuk mengutamakan kelulusan bagi kemudahan berskala besar selain memperkukuhkan keupayaan AI negara.
Sehubungan itu, sebarang usaha penggabungan dalam kalangan platform yang mendapat kewangan kukuh, dijangka berterusan apabila kekangan memasuki pasaran Malaysia, khususnya di Johor, semakin meningkat dan lebih memihak pemain besar serta sedia ada berbanding syarikat atau pendatang baharu.
“Kenyataan ini jelas memaparkan pasaran pusat data Asia Tenggara yang agak terbahagi dengan perancangan kapasiti Malaysia kini hampir sepenuhnya menumpukan AI dengan unjuran kami terarah melibatkan kapasiti sebanyak 4.6 gigawatt (GW) (yang dirancang dan sedang dalam pembinaan).
“Pasaran lain di rantau ini seperti Filipina dan Vietnam sebaliknya menyaksikan aplikasi AI yang terhad dan saluran pembangunan yang lebih cenderung menunjukkan transformasi digital yang menjana permintaan perusahaan,” katanya.
Bagaimanapun, BMI percaya Indonesia, Thailand dan Filipina akan berusaha mendapatkan permintaan yang dialihkan.
“Kami mendapati pasaran-pasaran ini sudah pun menarik pelaburan berikutan keadaan tepu dan kekangan infrastruktur di pasaran utama dengan tumpuan lebih kepada beban kerja bukan AI,” katanya.
BMI berkata naratif permintaan Malaysia telah matang dan beralih daripada menjadi satu-satunya lokasi lebihan limpahan permintaan Singapura dan kini sebaliknya dipacu oleh aspirasi digital kerajaan, pelaburan penyedia layanan awan skala besar serta bebanan perusahaan tempatan.
Menyentuh persekitaran dasar, BMI berkata Malaysia telah menolak hampir 30 peratus cadangan pusat data yang gagal memaparkan amalan penggunaan air serta tenaga yang bertanggungjawab, sekali gus menunjukkan bahawa pertumbuhan perlu seiring dengan tahap alam sekitar. – BERNAMA