
ARGENTINA, 11 Mei – Wabak hantavirus bukan penyakit baharu kerana penularannya pernah ‘memusnahkan’ bandar kecil Patagonia di Epuyen, Argentina hingga mengorbankan 11 orang dan menjangkiti 34 individu yang lain.
- Langkah pengasingan ketat terbukti mampu memutus rantaian penularan hantavirus.
- Virus disebarkan melalui sentuhan air kencing, najis atau air liur tikus berjangkit.
- Penularan manusia ke manusia pernah berlaku; kuarantin mandatori 45 hari dikenakan kepada kontak.
Antara mangsa endemik berkenaan adalah ahli keluarga Mailen Valle, 33, yang kehilangan bapa dan dua adik perempuannya yang menjadi korban virus berkenaan pada lapan tahun lalu.
“Wabak hantavirus di Epuyen antara 2018 dan 2019 bukanlah satu ‘meme’ kerana ia benar-benar nyata dan menghancurkan,” kata Valle.
Kini, wabak yang dikaitkan dengan kapal persiaran MV Hondius telah menghidupkan semula kenangan pahit dalam komuniti Andes ini.
Tragedi itu membawa kepada langkah pengasingan yang ketat yang membantu memutuskan rantaian penularan.
“Kehilangan bapa dan dua adik perempuan saya dalam masa kurang dari sebulan. Tiada siapa yang bersedia untuk melihat bagaimana kematian meragut keriangan kami sekeluarga,” jelas Valle.
Epuyén, sebuah bandar Andes dengan 2,400 penduduk telah merekodkan 34 kes dan 11 kematian antara Disember 2018 dan Mac 2019.
Hantavirus tersebut dipercayai disebarkan melalui sentuhan dengan air kencing, najis atau air liur tikus yang dijangkiti.
Di Patagonia Argentina dan Chile, vektornya ialah tikus padi kerdil berekor panjang.
Pakar epidemiologi Jorge Díaz, dari Sekretariat Kesihatan Wilayah Chubut yang mengambil bahagian dalam kajian serta tindak balas terhadap wabak berkenaan di Epuyen memberitahu bahawa pada 2018 sangat sedikit yang diketahui tentang penyakit itu.
Penularan manusia ke manusia ditemui pada tahun 1996 di bandar jiran El Bolsón dan disahkan beberapa tahun kemudian di Epuyen dengan 100 orang diletakkan di bawah pengasingan mandatori.
“Kuarantin telah dilaksanakan yang memerlukan kenalan (kontak) kes positif untuk diasingkan selama 45 hari,” jelas Díaz.
Víctor Díaz, salah seorang pesakit yang pulih daripada hantavirus berkata penyakit itu menyebabkan mereka mengalami sakit badan yang teruk.
“Ia bermula dengan kelemahan. Saya tidak mempunyai selera makan dan kemudian ruam ungu mula muncul sebelum tidak sedarkan diri,” katanya.- AFP