Percepat penggunaan tenaga nuklear, tampung permintaan industri EV – Pakar

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Mei Penggunaan tenaga nuklear wajar dipercepat sebagai sumber tenaga alternatif bagi memenuhi peningkatan permintaan tenaga negara daripada industri kenderaan elektrik (EV).

Pakar Teknologi Kenderaan, Elektrifikasi dan Sistem Mobiliti Taylor’s University, Profesor Madya Ir Dr Rifqi Irzuan Abdul Jalal berkata, langkah itu memerlukan penelitian menyeluruh serta dasar yang lebih jelas untuk merealisasikan sasaran kerajaan terhadap penggunaan tenaga nuklear menjelang 2050.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu penelitian menyeluruh dan dasar lebih jelas untuk merealisasikan penggunaan tenaga nuklear menjelang 2050.
  • Perlu perluasan biodiesel melalui pengumpulan dan penukaran minyak masak terpakai kepada bahan api secara teratur.
  • Inisiatif solar perlu diperkasa fokus kepada bumbung perumahan, kilang dan bangunan komersial untuk penggunaan ruang sedia ada.
  • Kerajaan komited meneroka tenaga nuklear sebagai pilihan sumber bersih bagi mencapai sasaran 70 peratus TBB menjelang 2050 bawah NETR.

“Ini sesuatu yang baik untuk industri kerana pada masa depan kita akan melihat pertumbuhan pengguna EV di jalan raya yang secara tidak langsung merancakkan perkembangan industri.

“Apabila industri berkembang, permintaan tenaga juga akan meningkat setiap tahun. Jika kita tidak mempunyai sumber seperti tenaga nuklear, kita mungkin berdepan kesukaran untuk memenuhi permintaan tenaga bagi sektor industri serta pertumbuhan penggunaan kenderaan elektrik (EV).

“Jadi, ini antara penyelesaian yang perlu dipertimbangkan secara serius dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita RTM.

Beliau juga berkata, usaha memperluas penggunaan biodiesel perlu turut diberi tumpuan, khususnya melalui penerokaan sumber tenaga alternatif daripada minyak masak terpakai.

Langkah itu bukan sahaja mampu mengoptimumkan penggunaan sisa domestik, malah berpotensi menyumbang kepada kelestarian alam.

“Selepas digunakan, kebanyakan minyak masak dibuang begitu sahaja. Jadi, kenapa tidak kita wujudkan mekanisme yang lebih teratur untuk mengumpulkannya dan menukarkannya kepada bahan api?.

“Ini sesuatu yang perlu dilihat dan difikirkan secara serius, termasuk mewujudkan kawalan serta inisiatif yang lebih tersusun bagi mempromosikan penggunaannya,” katanya.

Mengulas mengenai penggunaan solar, beliau berpendapat inisiatif itu juga perlu terus diperkasa dengan fokus kepada kawasan sedia ada seperti perumahan, kilang dan bangunan komersial.

Pendekatan tersebut dilihat lebih praktikal berbanding meneroka kawasan baharu susulan ruang seperti bumbung boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk pemasangan panel solar.

Sebelum ini, kerajaan menyatakan komitmen untuk meneroka tenaga nuklear sebagai antara pilihan sumber tenaga bersih dalam usaha mencapai sasaran 70 peratus tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2050.

Langkah itu selaras dengan strategi jangka panjang bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi memperkukuh pelaksanaan peralihan tenaga secara mampan.