Datuk Rizal Rickman dilantik Presiden, Ketua Eksekutif Kumpulan baharu PNB

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pelantikan Datuk Rizal Rickman Ramli sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan baharu berkuat kuasa 1 Julai ini, susulan persaraan Datuk Abdul Rahman Ahmad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Abdul Rahman akan bersara rasmi pada 31 Mei selepas tamat kontrak dua tahun.
  • Datuk Rizal Rickman akan berkhidmat sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan mulai 1 Jun.
  • Beliau membawa lebih lapan tahun pengalaman kepimpinan di PNB, mengurus Hartanah, Pasaran Persendirian, Pelaburan Strategik dan Pengawasan Pelaburan.
  • Lembaga memuji pelantikan sebagai bukti kejayaan perancangan penggantian dalaman, memastikan kesinambungan kepimpinan untuk merealisasikan Pelan Strategik LEAP-6.

PNB dalam kenyataan memaklumkan, Datuk Abdul Rahman akan bersara secara rasmi pada 31 Mei ini selepas tamat kontrak dua tahunnya bersama syarikat pengurusan dana tersebut.

“Beliau bersara selepas lebih 25 tahun mencatat pengalaman luas dalam dunia korporat termasuk pernah menerajui beberapa syarikat utama negara seperti CIMB Group Holdings Bhd, Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas), Media Prima Bhd dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB),” katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Rizal Rickman yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan akan menjalankan tugas sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan bermula 1 Jun, sebelum pelantikan rasminya berkuat kuasa.

“Datuk Rizal Rickman membawa lebih daripada lapan tahun pengalaman kepimpinan progresif di PNB termasuk mengetuai bahagian Hartanah, Pasaran Persendirian, Pelaburan Strategik dan Pengurusan Pengawasan Pelaburan dan terkini sebagai Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, yang bertanggungjawab di atas keseluruhan strategi dan operasi Kumpulan,”menurut kenyataan sama.

Sebelum menyertai PNB, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai “Country Managing Partner” Malaysia di firma perundingan global, Boston Consulting Group.

Datuk Rizal Rickman sekali gus membawa pengalaman luas dalam strategi, pengurusan portfolio dan pelaburan dengan ciri kepimpinan yang kukuh serta pemahaman menyeluruh terhadap misi, nilai dan agenda nasional serta bumiputera PNB.

Lembaga Pengarah PNB menyifatkan pelantikan itu sebagai bukti kejayaan pelaksanaan perancangan penggantian dalaman yang berkesan, sekali gus memastikan kesinambungan kepimpinan dalam merealisasikan Pelan Strategik LEAP-6.

Pada masa sama, PNB merakamkan penghargaan kepada Datuk Abdul Rahman atas sumbangan besar beliau sepanjang lima tahun perkhidmatan merentasi dua penggal, khususnya dalam memperkukuh hala tuju strategik dan budaya kecemerlangan organisasi.