OPR kekal 2.75 peratus, cerminan kestabilan ekonomi negara

Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR, 7 Mei – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus mencerminkan kestabilan landskap makroekonomi negara meskipun berdepan ketidaktentuan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan didorong oleh kestabilan inflasi dan sokongan fiskal kerajaan yang membantu meredakan tekanan kos bagi pengguna dan PKS.
  • BNM mengambil kira risiko geopolitik, volatiliti komoditi, kelembapan perdagangan dan hala tuju dasar AS yang boleh menjejaskan aliran modal.
  • Keputusan mewujudkan persekitaran kos pembiayaan lebih stabil, menyokong perancangan aliran tunai, pengembangan perniagaan dan pelaburan jangka sederhana.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata keputusan itu didorong oleh kestabilan inflasi dalam negara serta sokongan fiskal kerajaan yang menjadi faktor utama pengekalan OPR itu pada paras semasa.

“Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dilihat mengambil kira risiko daripada ketegangan geopolitik, volatiliti harga komoditi, kelembapan perdagangan global serta ketidaktentuan hala tuju dasar monetari Amerika Syarikat (AS) yang boleh memberi kesan kepada aliran modal dan sentimen pasaran serantau.

Bagaimanapun, langkah fiskal kerajaan untuk mengurangkan tekanan kos terhadap PKS dan pengguna, khususnya berkaitan kos tenaga, telah membantu meredakan tekanan inflasi kos,” jelasnya kepada RTM.

“Ini secara tidak langsung memberi ruang kepada BNM untuk mengekalkan pendekatan monetari yang lebih stabil tanpa perlu bertindak terlalu agresif melalui kenaikan kadar faedah,” katanya lagi.

Tambah beliau, pengekalan OPR itu turut memberi kestabilan kepada persekitaran kos pembiayaan domestik dan mengurangkan risiko kejutan terhadap komitmen hutang isi rumah serta sektor perniagaan.

Menurutnya, keputusan itu mewujudkan keadaan lebih kondusif untuk perancangan aliran tunai, pengembangan perniagaan dan keputusan pelaburan jangka sederhana, khususnya kepada bagi pemilik rumah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Bagi saya, kadar dasar semasa 2.75 masih boleh dianggap berada dalam zon neutral dan belum mencapai tahap yang cukup ketat untuk menjejaskan momentum kredit domestik secara ketara.

Pertumbuhan pembiayaan sektor swasta juga masih menunjukkan daya tahan, mencerminkan keadaan kecairan dan transmisi monetari yang kekal berfungsi dengan baik,” katanya lagi.

Mengulas mengenai prospek separuh kedua tahun ini, beliau berpandangan bank pusat itu dijangka terus mengekalkan pendekatan berhati-hati serta bergantung kepada perkembangan data ekonomi semasa.

Antara faktor utama yang akan terus dipantau termasuk tekanan inflasi susulan peningkatan harga bahan api global, selain hala tuju kadar faedah AS, kelembapan perdagangan global, harga minyak dan risiko geopolitik.