GITC pastikan kebolehpasaran graduan TVET

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited terus mengkaji keperluan industri semasa bagi memastikan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kekal relevan serta memenuhi pasaran kerja.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran platform digital GITC pada Jun sempena Hari TVET Negara untuk memantapkan hubungan kerajaan, industri dan institusi pendidikan.
  • GITC melibatkan lebih 14 pihak industri dan institusi sebagai usaha berterusan selama bertahun-tahun.
  • Matlamat utama ialah meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET dan menangani isu ketidakpadanan kemahiran.

Antaranya menerusi penubuhan Badan Koordinasi Kerajaan dan Industri TVET (GITC) yang bakal dilancarkan Jun nanti.

Menurut Timbalan Menteri KPT, Adam Adli, platform digital itu bakal dilancarkan sempena Hari TVET Negara membuktikan usaha berterusan GITC bersama lebih 14 pihak terdiri daripada pemain industri dan institusi pendidikan sejak beberapa tahun lalu.

Langkah itu penting bagi memastikan graduan TVET bukan sahaja mudah mendapat pekerjaan, malah menjadikan bidang itu pilihan utama.

“Kita tahu dalam suasana ekonomi yang mencabar sekarang, kebolehpasaran graduan TVET amat membanggakan namun kadang-kadang kita masih lagi melihat masalah seperti ketidakpadanan dan sebagainya.

Jadi, ini adalah salah satu usaha besar yang diusahakan GITC selama bertahun-tahun dan pelancarannya kelak akan merealisasikan hasrat kerajaan meningkatkan kebolehpasaran graduan,”Adam menyatakannya selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran GITC, Pusat Penempatan TVET di ibu negara.