PM hadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu

Foto RTM

CEBU, 7 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Cebu, Filipina untuk lawatan kerja dua hari sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-48.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan.
  • Menghadiri Sidang Kemuncak Khas BIMP-EAGA bagi membincangkan kerjasama sub-serantau.
  • Mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan dari Singapura, Vietnam, Thailand dan Laos.
  • Filipina selaku pengerusi bertema "Navigating Our Future, Together" menganjurkan lebih 650 mesyuarat dan beberapa sidang kemuncak.

Beliau yang diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Pangkalan Udara Brigadier Jeneral Benito Ebuan, Mactan, Cebu pukul 1:50 tengah hari disambut oleh Setiausaha Kabinet yang juga Menteri Pengiring Jabatan Tenaga Filipina Sharin S. Garin, Gabenor Cebu Pamela Pam Baricuatro dan Datuk Bandar Lapu-Lapu, Cynthia King Chan.

Turut menyambut ketibaan Datuk Seri Anwar, Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.

Jadual padat menanti Perdana Menteri sepanjang dua hari persidangan tersebut.

Selain sidang kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan, Datuk Seri Anwar dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Khas Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) bagi membincangkan isu berkaitan kerjasama sub-serantau.

Sepanjang berada di Cebu, Perdana Menteri juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan dari Singapura, Vietnam, Thailand dan Laos.

Tema bagi Kepengerusian ASEAN oleh Filipina bagi tahun ini ialah ‘Navigating Our Future, Together’.

Negara itu menganjurkan lebih 650 Mesyuarat ASEAN, termasuk dua Sidang Kemuncak dan 24 Mesyuarat Peringkat Menteri.