TSG pertaruh enam pelumba gapai sasaran dua podium di Jepun

Pasukan berbasikal bertaraf dunia Terengganu Cycling Team (TSG)/Foto Bernama

KUALA TERENGGANU, 6 Mei – Pasukan berbasikal bertaraf dunia Terengganu Cycling Team (TSG), mempertaruhkan enam pelumba bagi membawa cabaran pada Tour de Kumano di Jepun yang bermula esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • TSG meletakkan sasaran dua podium pada kejohanan bertaraf UCI 2.2, menurut Ketua Pegawai Operasi Nasiruddin.
  • Laluan berbukit dan teknikal jadi cabaran utama; mereka membawa pelumba baharu Muhammad Qayyum bagi mengejar jersi kuning.
  • TSG kini kedudukan ketiga pasukan terbaik Asia, ke-33 dunia, dengan 789 mata dan berusaha merampas kembali takhta Raja Asia.

Ketua Pegawai Operasi TSG Nasiruddin Wan Idrus berkata, ia melibatkan tiga pelumba import dan tiga pelumba tempatan yang akan mengharungi empat peringkat perlumbaan sejauh 465.6 kilometer, bermula di Inami dan berakhir di Taiji.

Beliau berkata, TSG yang dibimbing Mohd Saiful Anuar Aziz meletakkan sasaran dua podium pada kejohanan bertaraf 2.2 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus /Foto Bernama

“Pelumba terlibat ialah Fergus Browning, James Gardner, Zeb Kyffin, Nur Aiman Rosli, Muhammad Nur Aiman Mohd Zarrif dan Muhammad Qayyim Mohd Saipul Anuwai.

“Laluan berbukit dan teknikal menjadi cabaran utama kita pada perlumbaan kali ini. Selain itu, kita turut menghantar pelumba baharu Muhammad Qayyum yang sebelum ini beraksi di Akademi TSG. Ia satu cabaran untuk dia membantu pasukan meraih jersi kuning,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Nasiruddin berkata TSG yang berpangkalan di Kuala Terengganu ketika ini berada di kedudukan ketiga pasukan terbaik Asia serta ke-33 dunia.

Beliau berkata pasukan itu optimis mampu merampas semula gelaran Raja Asia yang pernah dimenangi selama empat tahun berturut-turut bermula 2021 hingga 2024.

“Setakat ini kita berjaya mengumpul 789 mata daripada 12 siri perlumbaan di seluruh dunia. Alhamdulillah, kita naik satu tangga berbanding minggu lalu.

“Dengan baki lebih 20 siri perlumbaan, kita akan berusaha mengumpul seberapa banyak mata bagi merampas kembali takhta juara Asia sebelum tirai kejohanan berakhir Oktober depan. Pencabar terdekat ialah Li Ning Star (China) dan Roojai Insurance Winspace (Thailand),” katanya.-Bernama