Operasi MARA Liner kekal stabil, manfaat peluasan subsidi diesel

Ketua Pegawai Eksekutif MARA Liner, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan / Foto RTM

Kuala Lumpur, 5 Mei – MARA Liner Sdn. Bhd. memaklumkan kedudukan kewangan dan operasinya kekal stabil susulan penyaluran subsidi diesel kerajaan pada harga RM1.88 seliter.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peluasan subsidi diesel memberi kelebihan strategik kepada MARA Liner kerana rangkaian hampir 385 bas nasional.
  • MARA Liner memanfaatkan kuota subsidi hampir sepenuhnya, membolehkan penggunaan optimum oleh pengendali berskala besar.
  • Kestabilan kos operasi membolehkan penyediaan perkhidmatan konsisten, melindungi operasi daripada turun naik harga bahan api global.

Langkah itu dilihat membantu syarikat berdepan cabaran peningkatan kos operasi pengangkutan awam ketika ini.

Dengan rangkaian kira-kira 385 bas di seluruh negara, intervensi kerajaan melalui peluasan diesel berdasarkan pengangkutan itu memberi kelebihan strategik kepada syarikat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan berkata, status MARA Liner sebagai pengendali syarikat besar membolehkan penggunaan kuota subsidi dimanfaatkan secara optimum.

“Operasi syarikat kini berada pada tahap optimum dengan penggunaan subsidi yang hampir sepenuhnya dimanfaatkan.

“Bagi syarikat berskala kecil, mereka mungkin berdepan cabaran tersendiri berikutan kenderaan yang terhad.

“Namun bagi MARA Liner, kedudukan kami kekal stabil khususnya dari segi kos operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas Sektor Pelaburan MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Menurutnya, kestabilan kos operasi turut membolehkan syarikat terus menyediakan perkhidmatan yang konsisten kepada masyarakat tanpa terjejas secara ketara oleh turun naik harga bahan api global.