
AYER KEROH, 29 April – Kerajaan Negeri Melaka memohon agar pelaksanaan caj parkir berbayar di Hospital Melaka ditangguhkan dan dikaji semula dengan mengambil kira situasi semasa rakyat.
- Kerajaan negeri meminta Kementerian Kesihatan meneliti kadar caj parkir supaya akses perkhidmatan kesihatan tidak membebankan rakyat.
- Cadangan menetapkan kadar khas bagi pesakit dengan surat pengesahan supaya tidak perlu sering berpindah tempat letak kereta.
- Isu melibatkan Kementerian Kesihatan dan pihak swasta kerana tanah hospital bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
- Caj diumumkan RM2 sejam untuk pelawat, pengecualian OKU, pesakit dialisis dikenakan RM5 sehari, isu itu tular di media sosial.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya telah meminta Kementerian Kesihatan meneliti kadar caj tersebut sebagai usaha dalam memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan tidak membebankan orang ramai khususnya mereka yang ingin mendapatkan rawatan.
“Saya akan mengemukakan cadangan kepada pengurusan Hospital Besar Melaka supaya kadar parkir ditetapkan pada kadar tertentu, khususnya bagi mereka yang datang mendapatkan rawatan dengan surat pengesahan.
“Sekurang-kurangnya tidak timbul lagi isu orang ramai perlu berpindah-pindah parkir sehingga membebankan mereka, kerana perkara itu memang menyedihkan untuk didengari.
“Bagaimanapun, isu ini sebenarnya melibatkan pihak Kementerian Kesihatan dan pihak swasta, dan tidak melibatkan kerajaan negeri secara langsung kerana tanah tersebut bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka ke-15 di Kompleks Seri Negeri, di sini.
Caj parkir yang akan dikenakan ialah pada kadar RM2 per jam kepada pelawat dan ia dijadualkan bermula pada 1 Mei. Bagaimanapun, pengecualian bayaran diberikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), manakala pesakit dialisis dikenakan kadar RM5 sehari.
Susulan itu tular isu caj parkir berkenaan di media sosial yang didakwa kadar yang akan dikenakan kelak membebankan khususnya kepada kakitangan hospital dan pesakit yang menerima rawatan.
Dalam pad itu, Datuk Seri Ab Rauf turut memohon Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pembinaan hospital baharu di Melaka bagi menggantikan Hospital Melaka sedia ada yang telah berusia lebih 90 tahun.