Kad merah untuk ‘tutup mulut’ di Piala Dunia 2026

Pekerja mempamerkan kad koleksi menampilkan (dari kiri) pemain Perancis Kylian Mbappé, Argentina Lionel Messi, Colombia Luis Díaz dan Sepanyol Lamine Yamal sempena Piala Dunia FIFA 2026 / Foto AFP

Vancouver, 29 April – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan beberapa peraturan baharu yang lebih tegas akan dilaksanakan pada Piala Dunia 2026, termasuk hukuman kad merah terhadap pemain yang menutup mulut ketika berdepan lawan dalam situasi tegang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hukuman kad merah jika pemain menutup mulut untuk menyembunyikan perbuatan perkauman atau penghinaan.
  • Meninggalkan padang sebagai protes boleh membawa kad merah; pasukan yang menyebabkan perlawanan ditamatkan dianggap kalah secara automatik.
  • Pengumpulan kad kuning dipadam selepas pusingan kumpulan dan selepas suku akhir supaya pemain utama tidak digantung perlawanan penting.

Dalam kenyataan selepas mesyuarat bersama Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB), FIFA memaklumkan tindakan itu bertujuan membendung perlakuan berunsur perkauman atau penghinaan yang cuba disembunyikan daripada penglihatan pengadil dan kamera.

Peraturan berkenaan diperkenalkan susulan insiden membabitkan pemain Real Madrid, Vinícius Júnior, dan pemain Benfica, Gianluca Prestianni, yang mencetuskan kontroversi awal tahun ini.

Selain itu, FIFA turut menetapkan bahawa pemain yang meninggalkan padang sebagai tanda bantahan terhadap keputusan pengadil boleh dikenakan kad merah.

Dalam kes lebih serius, mana-mana pasukan yang menyebabkan sesuatu perlawanan ditamatkan akibat tindakan protes akan dianggap kalah secara automatik.

Langkah tersebut dilihat sebagai respons terhadap kekecohan dalam final Africa Cup of Nations Final 2025, yang menyaksikan pemain dan pegawai Senegal bertindak meninggalkan padang selepas keputusan penalti pada masa kecederaan.

Dalam perkembangan sama, FIFA turut meluluskan perubahan berkaitan kad kuning, di mana pengumpulan kad pada peringkat kumpulan akan dipadam selepas pusingan pertama, dan sekali lagi selepas suku akhir.

Langkah itu bertujuan memastikan pemain utama tidak terlepas perlawanan penting akibat penggantungan, sekali gus mengekalkan daya saing kejohanan.

Piala Dunia 2026 yang dijadual bermula pada 11 Jun di Mexico City akan menjadi edisi terbesar dalam sejarah dengan penyertaan 48 pasukan.- AFP