24 lokasi di Melaka dikenal pasti perlukan menara telekomunikasi baharu

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan/RTM

AYER KEROH, 26 April -Sebanyak 24 lokasi liputan lemah di Melaka dikenal pasti memerlukan pembinaan menara telekomunikasi baharu melalui peruntukan Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembinaan menara dijangka siap secara berperingkat sebelum suku kedua 2027.
  • MCMC melaksanakan 636 audit kualiti perkhidmatan antara 2025 hingga 31 Mac 2026.
  • Audit menumpu kepada kawasan yang menerima aduan melalui laman web, telefon, HEBAT dan WRUR.
  • MCMC keluarkan 32 notis pematuhan pada 2025 dan 20 lagi setakat 2026, syarikat telekom turut turun padang semasa audit.

Pembinaan tersebut dijangka siap secara berperingkat sebelum suku kedua tahun 2027.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan 636 siri audit kualiti perkhidmatan secara berkala di seluruh negeri itu bagi tempoh 2025 hingga 31 Mac 2026.

Katanya, tumpuan diberikan kepada kawasan yang menerima aduan melalui pelbagai saluran, termasuk laman web, telefon, Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bertemu Rakyat (HEBAT) dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

“Bagi tahun 2025, sebanyak 32 notis pematuhan telah dikeluarkan, manakala 20 notis lagi dikeluarkan setakat tahun 2026. MCMC turut memastikan syarikat telekomunikasi terlibat hadir dan turun padang semasa audit dijalankan,” katanya kepada media dalam sidang media Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di Seri Negeri, di sini.