
MUAR, 29 April– Seorang peniaga kerugian RM610,000 selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian yang menjanjikan pulangan luar biasa sehingga 750 peratus.
- Mangsa tertarik iklan pelaburan di Facebook yang menawarkan pulangan lumayan dikendalikan oleh broker kononnya.
- Mangsa membuat beberapa pemindahan wang ke akaun bank berbeza mengikut arahan sindiket.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 420; polis menasihati orang ramai supaya semak tawaran pulangan tinggi terlebih dahulu.
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa yang berusia 49 tahun itu mula terjerat dengan sindiket berkenaan selepas tertarik dengan satu iklan pelaburan yang dipaparkan di laman Facebook.
Beliau berkata, mangsa ditawarkan pulangan lumayan serta urusan pelaburan yang kononnya dikendalikan melalui seorang broker.
“Didorong oleh tawaran tersebut, pengadu telah melakukan beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun-akaun bank yang berbeza seperti yang diarahkan oleh sindiket.
“Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari dirinya diperdaya selepas diminta membuat bayaran tambahan sekiranya mahu mengeluarkan keuntungan daripada pelaburan yang dibuat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Susulan itu, mangsa telah membuat laporan polis semalam selepas menyedari dia tidak mendapat sebarang pulangan seperti yang dijanjikan.
Raiz Mukhliz berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan terlalu tinggi dalam tempoh singkat dan segera membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.