Bekas Pengarah FBI didakwa ancam nyawa Presiden Trump

Foto AFP

WASHINGTON, 29 April – Bekas Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), James Comey, didakwa atas dua pertuduhan mengancam nyawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertuduhan pertama dakwa ancaman membunuh dan mencederakan presiden sekitar 15 Mei 2025; pertuduhan kedua berkaitan penghantaran komunikasi ancaman merentas negeri.
  • Pemangku Peguam Negara menegaskan siasatan dan pendakwaan terhadap ancaman pemimpin negara akan dijalankan tanpa pengecualian.
  • Kes dipercayai berpunca dari hantaran media sosial; waran tangkap dikeluarkan; defendan menafikan mempunyai niat mengancam.

Pemangku Peguam Negara AS, Todd Blanche berkata, pertuduhan dikemuka panel juri besar di daerah timur North Carolina.

Menurut beliau, pertuduhan pertama melibatkan dakwaan Comey secara sengaja membuat ancaman untuk membunuh dan mencederakan Presiden pada atau sekitar 15 Mei 2025.

“Pertuduhan kedua pula berkaitan penghantaran komunikasi merentas negeri yang mengandungi ancaman untuk membunuh presiden pada tarikh sama.

“Kedua-dua pertuduhan tersebut membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang media khas di sini pada Selasa.

Blanche menegaskan pihak berkuasa tidak akan berkompromi dalam kes melibatkan ancaman terhadap pemimpin negara, dengan siasatan dan pendakwaan dibuat tanpa pengecualian.

Pertuduhan itu difailkan selepas siasatan menyeluruh selama kira-kira setahun, dengan pihak pendakwa akan bergantung kepada saksi, dokumen serta kenyataan defendan bagi membuktikan niat.

Menurut Blanche, waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Comey, namun beliau tidak dapat mengesahkan sama ada individu itu telah ditahan setakat ini.

Kes itu dipercayai berkait dengan satu hantaran media sosial oleh Comey pada Mei tahun lalu yang memaparkan imej susunan objek membentuk angka tertentu, yang ditafsir pihak berkuasa sebagai mesej ancaman terhadap Presiden.

Bagaimanapun, Comey dilaporkan menafikan mempunyai niat untuk mengancam, dengan menyatakan hantaran tersebut tidak membawa maksud seperti yang ditafsirkan. – AFP