Elak terlalu leka dengan media sosial, utamakan ibadah

Foto hiasan

MEKAH, 29 April – Jemaah haji disaran mengutamakan penghayatan rohani dan mengurangkan kebergantungan kepada media sosial bagi memastikan ibadah yang dilaksanakan di Tanah Suci mencapai matlamat sebenar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggunaan teknologi yang keterlaluan boleh menyebabkan jemaah leka dan terlepas peluang mendekatkan diri kepada Allah
  • Budaya merakam dan berkongsi perlu diimbangi agar tidak menjejaskan tumpuan serta kekhusyukan semasa beribadah
  • Peranan golongan muda meningkat, membawa tenaga positif namun perlu bimbingan supaya fokus dan adab ibadah terpelihara
  • Ibadah seperti tawaf, saie dan melontar jamrah menuntut kehadiran fizikal dan mental penuh tanpa gangguan gajet

Pengarah Operasi Bimbingan Haji Tabung Haji (TH), Shahrin Awaluddin berkata, meskipun teknologi memudahkan komunikasi, penggunaannya yang keterlaluan boleh menyebabkan jemaah terleka dan terlepas peluang berharga untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Apabila kita berada di Mekah dan Madinah, jika kita terlalu sibuk dengan media sosial, kita akan rugi. Saat yang penting sepatutnya digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya ketika ditemui media di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, budaya merakam dan berkongsi setiap momen yang menjadi kebiasaan masyarakat hari ini perlu diimbangi dengan bijak agar tidak menjejaskan tumpuan serta kekhusyukan ketika beribadah.

Mengulas mengenai penglibatan golongan muda, Shahrin berkata pihaknya melihat pertambahan jemaah daripada kategori tersebut setiap tahun, termasuk mereka yang pertama kali mendapat peluang menunaikan rukun Islam kelima itu.

Katanya, perkembangan itu sesuatu yang positif memandangkan golongan muda mempunyai kelebihan dari segi tenaga dan tahap kesihatan untuk melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ibadah seperti tawaf, saie, dan melontar jamrah menuntut kehadiran fizikal serta mental yang sepenuhnya, selain penghayatan rohani yang mendalam tanpa gangguan gajet.