AADK bersedia hadapi ancaman fentanyl

Datuk Ruslin Jusoh (tengah) merasmikan Program Sua Mesra Ketua Pengarah AADK bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang hari ini / BERNAMA

KOTA BHARU, 25 April – Agensi Antidadah Kebangsaan bersedia menghadapi ancaman dadah jenis fentanyl yang dikesan mula memasuki pasaran negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket mencampurkan dadah sintetik ke dalam cecair rokok elektronik atau vape, menandakan ancaman baharu dalam pengedaran.
  • AADK bersedia menangani penagihan sintetik termasuk magic mushroom dan Fentanyl, dengan modul rawatan disesuaikan mengikut jenis dadah.
  • Setakat ini tiada kes penagih Fentanyl di fasiliti AADK, tetapi PDRM mengesan furanyl fentanyl dalam vape melalui Op Vape 1.0.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, setakat ini belum ada kes penagih fentanyl direkodkan di pusat pemulihan, namun tangkapan oleh Polis Diraja Malaysia menunjukkan bahan itu sudah digunakan di luar.

Menurut beliau, AADK telah membuat persiapan awal memandangkan fentanyl mempunyai tahap kemudaratan yang tinggi.

“Kita lihat pendekatan berbeza perlu digunakan antara dadah tradisional seperti heroin dan ganja berbanding dadah jenis perangsang.

“Setakat ini belum ada rekod kemasukan kes fentanyl, namun kita bersedia untuk menanganinya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sua Mesra Ketua Pengarah AADK di Sekolah Menengah Kebangsaan Penambang, di sini.

Tambahnya, setiap jenis dadah memerlukan pendekatan rawatan berbeza termasuk bagi kumpulan Amphetamine-Type Stimulants (ATS), walaupun modul pemulihan yang digunakan adalah sama.