
BACHOK, 25 April – Seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kebakaran melibatkan kawasan semak dan sebuah kenderaan terbengkalai di Jalan Pantai Perkasa di sini pada Jumaat.
- Polis menerima maklumat kejadian kira-kira pukul 4.30 petang.
- Siasatan awal: kawasan semak dan rangka kenderaan di hadapan rumah terbengkalai terbakar, api merebak ke kawasan berhampiran.
- Orang awam berjaya memadamkan api sebelum merebak; tanaman, pokok kelapa, kayu binaan dan pagar besi terjejas.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan; tiada CCTV ditemui dan saksi menyatakan pembakaran sampah kira-kira 11.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superitenden Mohamad Ismail Jamaluddin dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.30 petang.
“Siasatan awal mendapati, pengadu dimaklumkan oleh saksi bahawa kawasan semak serta rangka kenderaan di hadapan sebuah rumah terbengkalai sedang terbakar.
“Pengadu bersama beberapa saksi kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati api sedang marak serta merebak ke kawasan berhampiran rumahnya,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun kebakaran berjaya dipadamkan orang awam sebelum merebak ke kawasan lain.
Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati kebakaran melibatkan kawasan lapang berdekatan rumah terbengkalai hingga ke hadapan rumah pengadu.
Antara yang terjejas termasuk tanaman serta beberapa barangan seperti pokok kelapa, rangka kereta, kayu binaan dan pagar besi.
Superitendan Mohamad Ismai turut memaklumkan bahawa, tiada kamera litar tertutup (CCTV) ditemui di lokasi kejadian.
Berdasarkan keterangan saksi, suspek dipercayai melakukan aktiviti pembakaran sampah kira-kira 11.30 pagi pada hari kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai dengan api atau bahan mudah terbakar sehingga membahayakan harta benda.
Dalam pada itu orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kawalan kerana boleh mengundang risiko kebakaran serta tindakan
undang-undang.