Ketidaktentuan geopolitik buka peluang Malaysia tarik pelaburan asing

Majlis Perasmian Atlas Copco Integrated Regional Hub di Shah Alam

SHAH ALAM, 25 April – Ketidaktentuan geopolitik global dilihat membuka ruang strategik kepada Malaysia untuk menarik lebih banyak pelaburan asing, khususnya dalam kalangan syarikat multinasional yang mencari lokasi operasi lebih stabil di rantau ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Asia Tenggara lebih stabil berbanding beberapa rantau lain, hanya menghadapi sedikit konflik geopolitik berskala besar.
  • Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada perubahan landskap geopolitik global.
  • Kini masa sesuai untuk meningkatkan pelaburan dan menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara ini.

Menurut Pengurus Besar Bahagian Perniagaan Teknik Pemampat Atlas Copco Malaysia dan Singapura, Khalid Shaikh, Asia Tenggara kini berada dalam kedudukan relatif lebih stabil berbanding beberapa rantau lain yang berdepan konflik dan ketegangan geopolitik, sekali gus menjadikannya lebih menarik kepada pelabur antarabangsa.

“Dari perspektif global, jika dilihat Asia Tenggara ketika ini, ia merupakan satu-satunya rantau yang bukan bebas sepenuhnya daripada konflik, namun hanya mempunyai sedikit konflik, khususnya konflik geopolitik berskala besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Atlas Copco Integrated Regional Hub di sini, hari ini.

Tambah beliau, keadaan tersebut meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan perubahan landskap geopolitik global.

“Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk meraih banyak manfaat daripada situasi geopolitik ini serta ketidaktentuan yang wujud di peringkat global. Ini merupakan kelebihan kepada Malaysia dan rakyatnya.

“Ini masa yang tepat untuk meningkatkan pelaburan dan menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara ini,” katanya.