
KUALA LUMPUR, 24 April – Pelaksanaan Op Tiris sejak 1 Mac 2023 hingga 23 April 2026 membuktikan komitmen tegas kerajaan dalam membanteras ketirisan barangan kawalan.
- Op Tiris 4.0 sejak 16 Mac mencatat perkembangan positif: 377 kes dan 107 tangkapan dalam kurang sebulan.
- Skop operasi diperluas daripada diesel kepada RON95, LPG, minyak masak, gula dan tepung gandum.
- Pendekatan bersepadu dan penguatkuasaan di ICQS menyaksikan pemeriksaan besar, rampasan signifikan dan perlindungan subsidi untuk golongan sasaran.
Operasi berkenaan dilaksana melalui empat fasa utama, dengan nilai rampasan mencecah RM263.41 juta melibatkan 6, 773 kes.
Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 139, 551 pemeriksaan dijalankan dengan 2, 219 tangkapan direkodkan.
Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Adam, fokus operasi dimulakan terhadap bahan bakar diesel, kemudiannya diperluas merangkumi petrol RON95, LPG, minyak masak, gula dan tepung gandum.
Jelas beliau, pelaksanaan Op Tiris 4.0 sejak 16 Mac lalu menunjukkan perkembangan positif apabila sebanyak 377 kes berjaya direkodkan dalam tempoh kurang sebulan.
Operasi bersepadu menerusi pendekatan ‘Whole of Government’ yang melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa itu turut membawa kepada penahanan 107 individu setakat semalam

”Di bawah rangka kerja Op Tiris 4.0 yang bermula daripada 16 Mac menyaksikan sebanyak 377 kes, melibatkan tangkapan individu sebanyak 107 orang.
”Daripada kes-kes tersebut, 166 merupakan kes diesel melibatkan 1.126 juta liter, manakala petrol sebanyak 78 kes
melibatkan 31.931 liter.
”Bagi LPG, terdapat 49 kes, menjadikan jumlah keseluruhan untuk sebulan yang pertama di bawah rangka kerja Optiris 4.0 adalah sebanyak RM17 juta,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan Ops Tiris juga merupakan hasil pengukuhan kawalan di pintu masuk negara dengan penempatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Sarawak.
Penempatan tersebut membolehkan pemeriksaan secara statik dilaksanakan terhadap pelbagai jenis kenderaan tempatan dan asing bagi mengekang ketirisan barangan kawalan.
Bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 22 April 2026, sebanyak 124, 477 pemeriksaan kenderaan telah direkodkan di semua lokasi terlibat.
Hasil penguatkuasaan ketat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, sebanyak 14 kes kumulatif melibatkan diesel dan petrol berjaya dikesan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM 143, 477.50.
Tegas beliau lagi, kejayaan itu mencerminkan keberkesanan penguatkuasaan bersepadu dalam memastikan barangan bersubsidi sampai kepada golongan sasaran serta mengurangkan kerugian negara akibat penyelewengan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Sempena Pencapaian Pengautkuasaan Ops Tiris tahun 2025 hingga Mac 2026 di Putrajaya.