Kompleks Bersepadu Pengerang, pacu kestabilan bahan api

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir/Foto Bernama

JOHOR, 24 April – Keterjaminan bekalan tenaga dan makanan negara akan terus diperkukuh melalui pendekatan lebih bersepadu, termasuk kerjasama rapat dengan pemain industri strategik.

RINGKASAN BERITA AI
  • PIC memastikan kestabilan bekalan bahan api dan petrokimia; kapasiti penapisan 300,000 tong sehari dan pengeluaran petrokimia lebih 3.3 juta tan.
  • Pembangunan Hab Biobahan Api sejajar NETR dan pelaksanaan biodiesel B15 untuk tenaga lebih mampan.
  • PIC memberi limpahan ekonomi: pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan vendor tempatan, pemindahan teknologi dan penambahbaikan infrastruktur.
  • Lawatan All Cosmos tekankan daya tahan industri, kepelbagaian bahan mentah, kecekapan pengeluaran dan pengeluaran baja bio-organik dengan nisbah 20:80.

Perkara itu dibuktikan menerusi lawatan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ke Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dan kilang baja All Cosmos Industries Sdn. Bhd. di Pasir Gudang, hari ini.

Jelas beliau, lawatan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keselamatan tenaga dan keterjaminan makanan, khususnya ketika berdepan krisis bekalan global akibat ketidaktentuan geopolitik, peningkatan kos input dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa.

“Di PIC, tumpuan diberikan kepada peranan kompleks tersebut dalam memastikan kestabilan bekalan bahan api dan produk petrokimia domestik yang merupakan komponen bahan mentah penting dalam penghasilan produk plastik untuk keperluan harian.

”Dengan kapasiti penapisan 300,000 tong sehari dan pengeluaran petrokimia melebihi 3.3 juta tan metrik setahun, PIC kekal penting dalam menyokong keselamatan tenaga negara, memperkukuh industri hiliran serta meningkatkan keupayaan eksport produk bernilai tambah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Akmal Nasrullah, beliau turut meninjau kemajuan pembangunan Hab Biobahan Api di Pengerang yang sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Menurutnya, inisiatif berkenaan selari dengan keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk memperluas penggunaan biodiesel kepada B15, sebagai langkah praktikal dalam memastikan bekalan tenaga lebih mampan dalam persekitaran pasaran global yang tidak menentu.

“Pembangunan PIC turut memberi limpahan ekonomi yang signifikan kepada negara, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan vendor tempatan, pemindahan teknologi serta penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan sekitar,” katanya lagi.

Sementara itu, lawatan ke All Cosmos Industries pula memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan industri, termasuk mempelbagaikan sumber bahan mentah, meningkatkan kecekapan pengeluaran serta memperluas kapasiti bagi memenuhi permintaan domestik.

Khususnya, dalam usaha mendepani cabaran semasa industri baja tempatan, terutamanya ketidaktentuan bekalan bahan mentah, peningkatan kos logistik serta tekanan harga input.

“Kerajaan turut menekankan kepentingan pengeluaran baja bio-organik sebagai alternatif kepada baja konvensional, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap input import serta memastikan bekalan baja lebih stabil,” katanya lagi.

Dalam konteks itu, penggunaan baja pada nisbah 20:80 oleh syarikat berkenaan dilihat sebagai pendekatan yang lebih seimbang, cekap dan mampan dalam menyokong sektor pertanian negara.