TNB MHL: Liaoning raih kemenangan bergaya

Pemain skuad hoki Liaoning (jersi merah) meraikan jaringan ketika menentang UiTM HA-KPT pada aksi Liga Hoki Malaysia 2026.

KUALA LUMPUR, 24 April Pasukan hoki lelaki Liaoning mendominasi perlawanan menentang UiTM HA-KPT pada saingan Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2026 apabila berupaya meraih kemenangan dengan keputusan 7-4 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua jurulatih Ken Sang Ryul mempamerkan corak permainan agresif, memanfaatkan setiap peluang untuk meraih tiga mata penuh.
  • Wang Chuangqi dan Yan Peng muncul wira dengan masing-masing meledak dua gol pada perlawanan tersebut.
  • Wu Nian membuka tirai jaringan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-12, memberikan tekanan awal kepada UiTM HA-KPT.
  • Wang Huaqing dan Wang Yubo menambah jaringan; Liaoning kini dalam momentum terbaik menjelang aksi menentang TNB.

Skuad kendalian, Ken Sang Ryul mempamerkan corak permainan agresif, memanfaatkan setiap peluang untuk memastikan tiga mata penuh dalam perlawanan tersebut.

Dua tonggak utama Liaoning, Wang Chuangqi dan Yan Peng muncul wira apabila masing-masing meledak dua gol, Chuangqi pada minit ke-14 dan 41, manakala Yan Peng menambah jaringan pada minit ke-36 dan 57.

Terdahulu pada perlawanan tersebut menyaksikan Liaoning membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Wu Nian pada minit ke-12 sekali gus memberi tekanan kepada UiTM HA-KPT.

Skuad UiTM HA-KPT bagaimanapun tidak mengalah apabila bangkit merapatkan kedudukan menerusi jaringan padang Muhammad Aiman Hakimi Mohd Badrul Hisham pada minit ke-21, diikuti Muhammad Muhibudin Moharam seminit kemudian.

UiTM HA-KPT cuba bangkit apabila Ahmad Suhaimi Kamaruddin dan Muhammad Haziq Zunuraim Mohd Azhari turut mencatat nama sebagai penjaring, namun kelemahan pertahanan membuka ruang buat Liaoning menambah jaringan.

Dua lagi gol pasukan Liaoning dijaringkan Wang Huaqing pada minit ke-25 dan Wang Yubo pada minit ke-48 bagi melengkapkan kemenangan bergaya.

Kemenangan itu meletakkan Liaoning dalam momentum terbaik menjelang aksi seterusnya menentang pasukan TNB, Ahad ini.