
KUALA LUMPUR, 24 April – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh pada paras RM4,500 satu tan, susulan pelbagai faktor pemangkin.
- MPOC menjangka MSM kekal kukuh, disokong perkembangan biodiesel, kenaikan harga minyak mentah dan potensi risiko El Nino yang dipantau rapat.
- Pengurangan taburan hujan sejak pertengahan Mac dijangka berlarutan hingga Jun, memberi kesan kepada hasil tanaman dan menyokong harga.
- Stok domestik menyusut susulan eksport meningkat; prestasi eksport suku pertama 2026 bertambah, disokong permintaan tinggi dari Afrika Utara dan Asia.
Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), jangkaan itu dipacu oleh perkembangan positif terhadap industri biodiesel, harga minyak mentah yang lebih tinggi serta potensi fenomena cuaca El Nino.
“Terdapat juga potensi risiko El Nino yang sedang berkembang, yang boleh memberikan sokongan harga tambahan. Perkembangan cuaca berkenaan pastinya akan dipantau rapat oleh pasaran memandangkan ia memberi kesan kepada hasil tanaman,” jelas MPOC dalam kenyataan rasminya.
Tambah MPOC, faktor cuaca turut memainkan peranan penting apabila Malaysia merekodkan pengurangan taburan hujan sejak pertengahan Mac yang turut dijangka berlarutan hingga Jun.
Dari sudut bekalan domestik, stok minyak sawit Malaysia berkurangan 16.1 peratus kepada 2.26 juta tan pada Mac apabila eksport melonjak kepada 1.55 juta tan, mengatasi jumlah pengeluaran sebanyak 1.37 juta tan.
“Prestasi eksport yang kukuh dipacu oleh pembelian awal sebelum kos penghantaran meningkat, selain eksport Indonesia yang suram susulan lonjakan penghantaran sebelum Mac bagi mengelakkan levi yang lebih tinggi,” katanya lagi.
Prestasi eksport minyak sawit negara pada suku pertama 2026 juga meningkat 29.1 peratus tahun ke tahun atau pertambahan 927,000 tan berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh permintaan dari Afrika Utara.
“Afrika Utara mencatat pertumbuhan tertinggi pada 94 peratus, diikuti Asia Selatan (74 peratus), Eropah dan Asia Tengah (47 peratus), Asia Pasifik (24 peratus) serta Afrika Sub-Sahara (20 peratus),” katanya dalam kenyataan sama.