Enam penghuni termasuk kanak-kanak terselamat dalam kebakaran di Lutong

Foto RTM

MIRI, 24 April – Enam penghuni, termasuk dua kanak-kanak terselamat dalam satu insiden kebakaran yang memusnahkan kediaman mereka di Kampung Sealine, Lutong, disini malam tadi (Khamis).

RINGKASAN BERITA AI
  • Jentera BBP Lutong dikerahkan selepas laporan kecemasan pukul 7.48 malam; rumah struktur tidak kekal hangus hampir 100 peratus.
  • Pasukan menggunakan sumber air terbuka; kebakaran dikawal pada pukul 8.15 malam dan operasi tamat 25 minit kemudian.
  • Kejadian berasingan di Betong: anggota BBP tiba dalam dua minit, api dikawal pada 4.10 pagi, punca dan kerugian dalam siasatan.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.48 malam.

Sejurus menerima panggilan, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dikerahkan ke lokasi kejadian.

Setibanya di tempat kejadian, anggota bomba mendapati sebuah rumah struktur tidak kekal setingkat telah hangus terbakar hampir 100 peratus.

Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan sumber air terbuka bagi mengawal api yang marak.

Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 8.15 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya 25 minit kemudian.

Kesemua mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan dua kanak-kanak dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Sementara itu, Dalam kejadian berasingan di Betong awal pagi tadi, sebuah bilik di bangunan rumah kedai Pasar Medan dilaporkan terbakar.

Kejadian tersebut turut melibatkan ruang di bahagian belakang Pejabat RISDA Betong.

Pihak JBPM Sarawak menerima laporan pada pukul 4.02 pagi sebelum tujuh anggota dari BBP Betong tiba di lokasi hanya dalam tempoh dua minit.

Kepantasan anggota bomba berjaya mengawal api sepenuhnya pada pukul 4.10 pagi, sekali gus mengelakkan kebakaran daripada merebak ke unit kedai yang lain.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan unit forensik bomba.