
KUDAT, 24 April – Strategi Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperketat pemantauan di 91 stesen minyak sempadan negara selana lapan hari membuahkan hasil apabila jualan RON95 merekodkan penurunan drastik sebanyak 20 peratus.
- KDN memperketat pemantauan atas arahan Jemaah Menteri bagi melindungi subsidi daripada disalah guna.
- Pendedahan aktiviti penyelewengan subsidi menjejaskan negara terutama ketika ketidaktentuan harga minyak dunia.
- KDN memperluas pemantauan ke pusat penjualan pedalaman untuk memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar.
Data tersebut mendedahkan kewujudan aktiviti penyelewengan subsidi yang selama ini merugikan negara, terutama ketika harga minyak mentah global tidak menentu akibat konflik di Asia Barat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa tindakan drastik tersebut diambil selepas Jemaah Menteri mengarahkan pemantauan dipertingkatkan bagi melindungi subsidi negara daripada terus disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Kerajaan mesti respons kepada krisis ini. Jaminan kerajaan adalah untuk memastikan kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat.
“Dalam konteks ini, kebajikan bermaksud kita memperuntukkan subsidi yang besar supaya rakyat tidak terkesan dengan kenaikan harga minyak dunia,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian semasa melakukan Tinjauan Operasi Membanteras Penyeludupan dan Ketirisan di Remote Sensor Site (RSS) Balambangan, Kudat.
Bagi memastikan rantaian penyelewengan tersebut diputuskan sepenuhnya, KDN kini memperluaskan pemantauan ke pusat penjualan minyak di kawasan pedalaman.
Langkah tersebut bertujuan memastikan subsidi kerajaan yang bernilai berbilion ringgit itu benar-benar sampai kepada golongan sasar dan tidak dieksploitasi untuk keuntungan haram.