100,000 pengunjung disasar hadir Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2026

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 April – Dalam membudayakan amalan membaca, cabaran sebenar bukan mengenai minat yang semakin pudar tetapi si pembaca belum menemui buku yang ‘dekat’ di hati mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penganjuran tiga hari di Dataran Merdeka menyasarkan 100,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti untuk memupuk budaya membaca.
  • Aktiviti inklusif termasuk Tukar Buku Terbesar di Asia Tenggara, kelah buku, sesi bacaan, Pidato Negarawan dan Larian Karakter berpakai kostum.
  • Isu hak cipta diberi perhatian, perbincangan masa depan industri buku dan lapan sesi AI termasuk penyertaan pakar Nadio Granata.

Ke arah pembudayaan itu, Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2026 tampil lebih segar dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk ‘Kelah Buku’.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar berkata 100,000 pengunjung disasarkan dalam tempoh tiga hari penganjurannya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bermula Jumaat.

Bagi menyemarakkan budaya pembacaan secara inklusif, acara “Tukar Buku Terbesar di Asia Tenggara” berlangsung pada Sabtu untuk menggalakkan perkongsian buku antara sesama pengunjung.

“Pendekatan kali ini menyasarkan semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang belum menjadikan membaca sebagai kebiasaan.

Pengunjung juga boleh menyertai kelah buku atau ‘book picnic’ dengan membawa buku sendiri untuk dibaca bersama keluarga dan rakan,” katanya.

Turut diadakan sesi bacaan bersama dan Pidato Negarawan.

Pada pagi Ahad, dimeriahkan dengan Larian Karakter Buku sejauh 3 dan 5 kilometer dengan peserta perlu memakai pakaian bertema yang berkisar karakter popular seperti Harry Potter.

Di sebalik kemeriahan, isu hak cipta turut diberi perhatian serius.

Menurut Adibah, penganjuran kali ini juga membuka ruang perbincangan tentang masa depan industri buku bagi memastikan karya tempatan terus dilindungi dan dihargai.

Turut ditampilkan Pakar Kecerdasan Buatan (AI) dari United Kingdom, Nadio Granata.

“Lapan sesi secara santai mengenai AI diadakan melibatkan pelbagai tokoh termasuk penulis dan ilustrator berkaitan dunia AI,” ujarnya.

Bertemakan “Di Kota Ini, Semua Membaca”, Adibah berharap Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2026 menjadi pemangkin ke arah negara membaca selaras hasrat kerajaan.