
ALOR SETAR, 23 April – Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menasihatkan jemaah haji agar menjaga adab, disiplin serta memelihara nama baik negara sepanjang berada di Tanah Suci, selain menasihatkan agar mereka menggunakan kesempatan dengan memperbanyakkan ibadah.
- Ibadah haji ialah perjalanan rohani yang menuntut keikhlasan, kesabaran, pengorbanan dan keinsafan.
- Perbanyakkan doa di Tanah Suci agar Kedah dan Malaysia sentiasa dilimpahi keamanan, kemakmuran dan perpaduan.
- Sentiasa jaga kesihatan, patuhi peraturan pihak berkuasa dan beri kerjasama penuh kepada petugas haji untuk kebajikan.
Baginda bertitah, ibadah haji bukan sekadar satu perjalanan fizikal merentasi sempadan negara tetapi perjalanan rohani yang menuntut
keikhlasan, kesabaran, pengorbanan dan keinsafan yang tinggi.
Dalam menunaikan segala rukun dan wajib haji dengan sempurna, baginda juga berharap para jemaah tidak lupa untuk memperbanyakkan doa di Tanah Suci agar negeri Kedah khususnya dan Malaysia amnya terus dilimpahi keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang berkekalan.
“Beta juga menasihatkan para jemaah, agar sentiasa menjaga kesihatan, mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, serta memberikan kerjasama penuh kepada para petugas haji, yang telah diamanahkan untuk menyantuni dan menjaga kebajikan, sepanjang perjalanan ibadah ini,” titah Baginda pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Negeri Kedah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Hotel Raia, Alor Setar.
Dalam titah ucapan sama, Baginda merakamkan ucapan tahniah kepada para jemaah haji dari Negeri Kedah yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah di Tanah Suci, pada tahun ini dan menyifatkannya sebagai suatu nikmat dan kurniaan yang amat besar daripada Allah S.W.T.
“Beta percaya ia juga mencerminkan kesungguhan, kesabaran dan ketekunan luar biasa oleh para bakal jemaah haji yang telah menabung sejak awal di Tabung Haji dengan penuh disiplin dan istiqamah demi mencapai impian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci,” titah Baginda lagi.
Baginda turut mendoakan agar semua bakal jemaah haji dapat menunaikan ibadah dengan sempurna dan kembali ke tanah air memperoleh haji yang mabrur.
Seramai 140 orang bakal haji dari negeri Kedah berlepas ke Madinah menerusi penerbangan haji ke-16 daripada keseluruhan 100 penerbangan yang dijadualkan di seluruh negara.