
IPOH, 22 April– Isu pelaburan syarikat kenderaan elektrik, BYD tidak akan menjejaskan keyakinan pelabur lain untuk melabur di Perak.
- Kerajaan negeri tidak bergantung kepada satu pelabur; sentiasa menerima minat pelabur luar.
- Negeri menyediakan pelbagai tapak dan taman perindustrian sedia dibangunkan untuk menarik pelabur baharu.
- Rayuan ke peringkat Persekutuan masih dikemukakan; keputusan dijangka diperoleh dalam tempoh terdekat.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Perak tidak bergantung kepada hanya satu pelabur sahaja, sebaliknya terus menerima minat pelabur luar.
Jelasnya, kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai tapak serta taman perindustrian yang sedia dibangunkan, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada kemasukan pelabur baharu.
“Bukan hanya satu pelabur yang masuk ke negeri Perak. Malah, tadi pun kita telah menerima taklimat daripada pelabur dari Taiwan yang melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM840 juta. Ini bermakna, sekiranya BYD tidak melabur di Perak, ia tidak akan menjejaskan minat pelabur lain.”
“Hal ini kerana kita sedang membuka lebih banyak kawasan dan taman perindustrian, sekali gus mengundang lebih ramai pelabur untuk datang melabur di negeri ini,” kata Datuk Seri Saarani kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Penganugerahan Biasiswa Menteri Besar Perak kepada calon SPM dan Penyerahan Mock Cheque Biasiswa Agrotek Perak SADC-YP, di sini.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee memaklumkan usaha rayuan masih diteruskan di peringkat Persekutuan.
“Kami masih lagi dalam proses mengemukakan rayuan kepada peringkat tertinggi kerajaan Persekutuan, di mana permohonan tersebut telah disalurkan terus kepada YAB Perdana Menteri. Saya percaya pihak mereka sedang menganalisa segala maklumat yang berkaitan dan keputusan dijangka akan dicapai dalam tempoh terdekat,” kata Sze Yee.