Gempa 7.4 magnitud gegar utara Jepun, amaran tsunami dikeluarkan

Foto fail/REUTERS

TOKYO, 20 April -Satu gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud melanda utara Jepun pada Isnin, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Amaran tsunami dikeluarkan; ombak dijangka mencecah sehingga tiga meter.
  • Ombak pertama dijangka tiba ke pesisir utara dalam masa terdekat.
  • Orang ramai diminta berpindah segera ke kawasan tinggi atau bangunan perlindungan; jangan kembali sehingga amaran ditarik balik.
  • Pejabat Perdana Menteri tubuhkan pasukan pengurusan krisis untuk tindak balas segera.

Amaran tsunami dikeluarkan dengan ketinggian ombak dijangka mencecah hingga tiga meter.

Gempa tersebut berlaku pada 4.53 petang waktu tempatan di perairan Pasifik berhampiran wilayah Iwate.

Gegaran dilaporkan sangat kuat sehingga dirasai di bangunan-bangunan tinggi di Tokyo, yang terletak ratusan kilometer dari pusat gempa.

Menurut JMA, ombak tsunami pertama dijangka tiba di pesisir pantai utara dalam masa terdekat.

Pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya segera berpindah dari kawasan pantai dan tebing sungai ke lokasi lebih selamat seperti kawasan tinggi atau bangunan perlindungan.

“Ombak tsunami dijangka melanda berulang kali. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak meninggalkan kawasan selamat sehingga amaran ditarik balik,” menurut kenyataan agensi itu.

Pejabat Perdana Menteri Jepun memaklumkan bahawa satu pasukan pengurusan krisis telah ditubuhkan sebagai tindak balas segera terhadap bencana tersebut.

Jepun merupakan antara negara paling aktif secara seismik di dunia kerana kedudukannya di atas empat plat tektonik utama di sepanjang Lingkaran Api Pasifik.

Negara itu mengalami kira-kira 1,500 gempa bumi setiap tahun, merangkumi sekitar 18 peratus daripada jumlah gempa global. – AFP