
KUALA LUMPUR, 20 April- Menteri Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Namibia, Selma Ashipala-Musavyi akan mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Malaysia bermula Isnin.
- Lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Mac 2025.
- Diiringi tujuh anggota delegasi; mengadakan pertemuan dan jamuan tengah hari bersama Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
- Perbincangan menumpukan pengukuhan kerjasama tenaga, perdagangan, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pembangunan kapasiti.
- Malaysia dan Namibia akan bertukar pandangan mengenai isu antarabangsa termasuk perkembangan di Asia Barat serta memperkukuh kerjasama dua hala.
Kementerian Luar yang turut dikenali sebagai Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan bahawa kunjungan itu merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan berkenaan pada Mac 2025.
Beliau akan diiringi tujuh anggota delegasi.
“Selma Ashipala-Musavyi dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, yang akan menghoskan majlis makan tengah hari bagi meraikan rakan sejawat beliau.
“Kedua-dua Menteri dijangka menilai kemajuan kerjasama dua hala dengan memberi penekanan kepada pengukuhan kolaborasi dalam bidang-bidang utama seperti kerjasama tenaga, perdagangan dan ekonomi, pendidikan, kesihatan, serta pembangunan kapasiti,” menurut kenyataan hari ini.
Menurut Wisma Putra, Malaysia dan Namibia juga akan bertukar pandangan mengenai isu antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk perkembangan di Asia Barat.
Semasa lawatan kerja itu, Selma Ashipala-Musavyi turut dijangka mengadakan pertemuan dengan beberapa menteri lain dan wakil dari agensi-agensi berkaitan.
Malaysia dan Namibia menjalinkan hubungan diplomatik pada 1990 dan hubungan itu kekal mesra yang disokong oleh kerjasama di platform dua hala dan pelbagai hala.
Kenyataan itu menyebut lawatan kerja Selma Ashipala-Musavyi dijangka akan terus memperkukuh lagi kerjasama yang kian berkembang di antara kedua-dua buah negara.
Pada 2025, jumlah dagangan Malaysia dengan Namibia mencecah RM394 juta (AS$92.4 juta), dengan nilai eksport sebanyak RM30.6 juta (AS$7.2 juta) dan nilai import berjumlah RM363.4 juta (AS$85.3 juta).