Lebih 7,000 belia disasar jadi ejen perubahan lestari menerusi Rakan Bumi 2026

FOTO RTM

PULAU REDANG, 18 April – Seramai 7,500 belia dari seluruh negara disasarkan menyertai Program Rakan Bumi 2026 yang bertujuan melahirkan lebih ramai ejen perubahan bagi membudayakan gaya hidup lestari dalam masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Rakan Bumi memfokuskan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar demi kelestarian masa depan negara.
  • Pelbagai aktiviti kesukarelawanan seluruh negara termasuk gotong-royong, penanaman pokok dan pembersihan laut untuk memupuk tanggungjawab belia terhadap ekosistem.
  • Program dibuka kepada semua belia dan diharapkan menjadi pemangkin kesedaran sivik mendalam mengenai krisis iklim global, bukan aktiviti bermusim.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, program yang menjadi pengisian utama Kalendar Mega Rakan Muda 2026 itu memfokuskan kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar demi kelestarian masa depan negara.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti kesukarelawanan akan diperluas ke seluruh negara termasuk gotong-royong, program penanaman pokok dan aktiviti pembersihan laut bagi memupuk rasa tanggungjawab belia terhadap ekosistem.

Beliau sendiri akan turut menyertai aktiviti selaman skuba sebagai mempromosikan kepentingan menjaga khazanah laut.

“Saya sendiri akan mengambil bahagian dalam sesi menyelam bersama pasukan untuk memberikan mesej kepada semua bahawa pentingnya menjaga alam dan kebersihan kita untuk diwariskan kepada generasi anak cucu kita.

“Sekarang ini kita berdepan pemanasan global dan ketidakpekaan masyarakat terhadap persekitaran. Jadi, ia perlu bermula daripada anak muda yang memberikan contoh terbaik untuk negara,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Peluncuran Program Rakan Bumi: Projek Planet Rakan Muda Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Taman Laut Pulau Redang.

Program Rakan Bumi 2026 kini dibuka kepada semua lapisan belia yang berminat untuk menyumbang tenaga secara aktif dalam menangani isu alam sekitar.

Melalui inisiatif itu, kementerian berharap penglibatan belia bukan sekadar aktiviti bermusim, sebaliknya menjadi pemangkin kepada kesedaran sivik yang lebih mendalam mengenai krisis iklim global.