
SERDANG, 18 April -Seramai 81 mahasiswa daripada universiti awam seluruh negara telah menyertai Program Pensijilan Sukarelawan dan Asas Kecemasan Kebangsaan 2026, satu inisiatif yang bertujuan memperkukuh kemahiran, kecekapan serta profesionalisme dalam kalangan sukarelawan pelajar.
- Program menyeragamkan kompetensi sukarelawan mahasiswa melalui modul latihan berstruktur untuk keselamatan dan keberkesanan operasi di lapangan.
- Membantu membina kepimpinan beretika dan nilai murni selaras Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026 hingga 2035.
- Kerjasama strategik dengan agensi universiti dan APM menyokong latihan praktikal seperti pertolongan cemas, etika sukarelawan dan kepimpinan.
Program anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) ini dilihat sebagai platform untuk menyeragamkan kompetensi sukarelawan mahasiswa, meningkatkan tahap keselamatan semasa pelaksanaan misi, serta membentuk sukarelawan yang berdisiplin dan berkemahiran melalui modul latihan yang berstruktur.
Pengarah PKPP, Prof Madya Dr Mohd Mursyid Arshad berkata, kepelbagaian amalan dalam misi sukarelawan pelajar memerlukan penyelarasan bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan operasi di lapangan.
“Selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035, program ini membantu merapatkan jurang dalam pembinaan sahsiah pemimpin masa hadapan, khususnya dari aspek kepemimpinan beretika dan penerapan nilai murni,” katanya.
Selain itu, penglibatan universiti dalam pelbagai misi sukarelawan seperti bantuan pasca banjir, khidmat masyarakat dan program keluarga angkat menuntut latihan sistematik bagi melahirkan mahasiswa yang bersedia memimpin serta berdaya tahan.
Pengarah Program, Emilia Umairah Zulkifli Gan, 22, berkata, penganjuran program selama dua hari itu memberi pendedahan menyeluruh kepada aspek pengurusan, kepimpinan dan kawalan emosi dalam situasi mencabar.
“Pengalaman mengendalikan program berskala besar ini mengajar kami untuk menjadi pemimpin yang lebih efektif, dengan keutamaan kepada kebajikan peserta dan penyampaian ilmu secara optimum,” kata Emilia Umairah.
Peserta dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Azura Safiyani Shafie, 22, berkata program berkenaan sebagai platform pembelajaran yang bermanfaat, khususnya dalam aspek disiplin dan kemahiran asas sukarelawan.
“Kami didedahkan dengan latihan pertolongan cemas, etika sukarelawan serta kepimpinan. Program ini sangat memberi nilai tambah dan diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, program itu turut mendapat kerjasama strategik daripada Majlis Sukarelawan Universiti Awam (MASKUM), Majlis Kokurikulum Universiti Awam (UNICC) serta Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Selangor.