Program IPR-INTAN bantu peserta keluar dari kemiskinan

FOTO RTM

PUTRAJAYA, 17 April – Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR-INTAN) terbukti membuahkan hasil dalam usaha kerajaan membantu golongan miskin tegar, miskin dan B40 meningkatkan pendapatan sekali gus membasmi kemiskinan di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek tanaman cili fertigasi (10 ekar) hasil lebih 200 tan bernilai kira-kira RM1.5 juta, memberi purata pendapatan RM3,000 sebulan kepada 20 peserta.
  • Ekosistem lengkap melibatkan peserta, agensi pelaksana dan sokongan pembeli sedia ada memastikan pemasaran dan kestabilan hasil pertanian.
  • Sejak Mac 2023 program bantu lebih 2,300 peserta dengan hasil terkumpul kira-kira RM22 juta; 20 projek baharu dijangka manfaatkan 600 peserta.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pencapaian itu selari dengan agenda kementerian dalam memastikan nasib rakyat terbela menerusi penglibatan dalam sektor ekonomi yang produktif.

“Maka sebab itu bagi saya program IPR Intan ini membuktikan bahawa bagi membantu kumpulan sasaran ia termasuk juga di bawah agenda kita untuk menaikkan pendapatan rakyat dari segi kumpulan sasaran ini untuk kita membasmi kemiskinan dan sebagainya maka perkara itu telah membuahkan hasil”, katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Ladang Cili IPR-INTAN di sini, hari ini.

Ujar beliau, projek tanaman cili fertigasi di kawasan seluas 10 ekar itu telah mencatat pencapaian memberangsangkan apabila berjaya menghasilkan lebih 200 tan cili bernilai kira-kira RM1.5 juta sejak dimulakan.

Projek yang memasuki pusingan kelima itu turut memberi manfaat kepada 20 peserta dengan purata pendapatan bulanan mencecah RM3,000 seorang.

Beliau menjelaskan kejayaan itu didorong oleh ekosistem lengkap yang melibatkan komitmen peserta, agensi pelaksana serta sokongan pembeli sedia ada yang menjamin pemasaran hasil pertanian.

Beliau turut menjelaskan buat pertama kali pada tahun ini, Nestlé Malaysia berjaya memperoleh 100 peratus bekalan cili tempatan bagi kegunaan produk mereka melalui program tersebut tanpa perlu bergantung kepada bekalan import.

Projek IPR-INTAN Putrajaya yang dilaksanakan di atas tanah milik Perbadanan Putrajaya itu dikendalikan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat, selain turut mendapat sokongan Nestlé Malaysia dari segi pembelian hasil dan amalan pertanian mampan.

Sejak dilancarkan pada Mac 2023, program IPR-INTAN telah membantu lebih 2,300 peserta di seluruh negara dengan nilai hasil terkumpul mencecah RM22 juta menerusi hampir 60 projek.

Bagi tahun ini, Kementerian Ekonomi bersetuju melaksanakan 20 lagi projek baharu yang dijangka memberi manfaat kepada 600 peserta tambahan, termasuk peluasan projek di Putrajaya untuk menambah 20 lagi peserta baharu.