Garis panduan baharu bagi pusat penjagaan di Selangor dilancarkan

Pengerusi Jawatankuasa Penambahbaikan, Perkhidmatan dan Penjagaan, Michelle Ng Mei Sze berkata, pendekatan baharu yang diperkenal lebih fleksibel. /Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 17 April – Garis panduan baharu bagi pusat jagaan dan taman asuhan kanak-kanak bagi negeri Selangor dilancarkan sebagai usaha memperkukuh tadbir urus sektor ekonomi penjagaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Garis panduan membenarkan penggunaan premis lebih fleksibel untuk kurangkan kos operasi dan galakkan pendaftaran pengusaha.
  • Sistem penarafan bintang diperkenal bagi menilai keselamatan dan kualiti, membantu masyarakat memilih pusat jagaan dengan yakin.
  • Garis panduan dijangka dikuatkuasakan semua pihak berkuasa tempatan dalam dua bulan untuk meluaskan akses penjagaan berkualiti.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penambahbaikan, Perkhidmatan dan Penjagaan, Michelle Ng Mei Sze, garis panduan itu telah diluluskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Februari lalu itu.

Ia memperkenalkan pendekatan lebih fleksibel dari segi penggunaan premis.

Menurut beliau, sebelum ini hanya rumah teres, rumah sebuah atau banglo dibenarkan, sekali gus menyumbang kepada kos operasi yang tinggi.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian pengusaha memilih untuk beroperasi tanpa kelulusan.

Dalam masa sama, sistem penarafan berasaskan bintang turut diperkenal bagi menilai tahap keselamatan dan kualiti pusat jagaan, sekali gus membantu masyarakat membuat pilihan dengan lebih yakin.

‘Sistem pemarkahan ini bagi membolehkan pengusaha menaik taraf perkhidmatan setiap masa agar menjadi lebih cemerlang, selain memastikan premis sentiasa selamat,” katanya selepas melancarkan garis panduan berkenan bagi mewakili Exco Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari di Shah Alam.

Setakat Mac lalu, sebanyak 176 taska dan pusat jagaan melibatkan kanak-kanak, warga emas serta OKU dikenal pasti tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.

Langkah ini dijangka mampu memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan penjagaan berkualiti serta meningkatkan keyakinan keluarga terhadap pusat
jagaan berdaftar.

Garis panduan berkenaan dijangka berkuat kuasa di semua pihak berkuasa tempatan dalam tempoh dua bulan, sekali gus menyokong usaha menjadikan Selangor negeri berdaya huni dan inklusif.