Pematuhan pemilikan saham dalam kalangan penjawat awam diteliti

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, pematuhan peraturan pemilikan saham dalam kalangan penjawat awam kini sedang diteliti KSN. /Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 April – Isu pematuhan peraturan pemilikan saham dalam kalangan penjawat awam kini sedang diteliti oleh Ketua Setiausaha Negara susulan keputusan Jemaah Menteri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penelitian melibatkan semakan laporan berkaitan sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.
  • Keputusan atau tindakan terhadap pihak terlibat hanya akan dibuat selepas penelitian menyeluruh selesai.
  • JPA membenarkan penjawat awam memegang saham melebihi RM100,000 dengan kelulusan mengikut Pekeliling 2024.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan penelitian itu melibatkan proses semakan terhadap laporan berkaitan sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.

“Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menyerahkan kepada Tan Sri Ketua Setiausaha Negara untuk meneliti dan mengambil tindakan berdasarkan hasil laporan. Saya tidak boleh menyatakan hasil laporan tersebut memandangkan proses masih berjalan.”

Beliau turut menjelaskan, sebarang keputusan termasuk tindakan terhadap pihak terlibat hanya akan ditentukan selepas penelitian menyeluruh selesai dilaksanakan oleh Ketua Setiausaha Negara Malaysia.

Tambah beliau, laporan penuh berhubung perkara itu dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada masa akan datang, namun bukan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA) memaklumkan, semua penjawat awam termasuk ketua-ketua agensi boleh memiliki saham melebihi RM100,000 dalam syarikat dengan syarat dapat kelulusan pihaknya.

Jumlah had pengecualian boleh diberi bergantung kepada syarat tertentu dengan mendapat kebenaran bawah Pekeli­ling Pengurusan Tatatertib dan Kelakuan Pegawai Awam 2024.