
KOTA BHARU, 14 April- Taktik dua beranak menggunakan perkhidmatan kurier serta berselindung di sebalik premis perniagaan buah-buahan dan insurans kenderaan untuk mengedar dadah jenis ganja terbongkar selepas ditahan polis pada Sabtu lalu.
- Polis merampas kira-kira 40 kilogram ganja dalam serbuan di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang, Pasir Mas.
- Suspek: bapa 40 tahun sebagai 'coordinator' dan anak 25 tahun sebagai 'runner'; kedua-dua direman tujuh hari.
- Polis menyita premis, kenderaan, motosikal, wang tunai RM184,800 dan barang kemas; keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM1 juta.
- Bekalan dadah dipercayai untuk pasaran dalam dan luar Kelantan dan boleh memberi kesan kepada kira-kira 80,000 penagih.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata polis merampas kira-kira 40 kilogram ganja dalam serbuan sekitar pukul 1.00 tengah hari di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang, Pasir Mas.
“Pemeriksaan lanjut di premis berkenaan membawa kepada penemuan bungkusan di bahagian belakang premis yang mengandungi tumbuhan kering mampat disyaki dadah dengan anggaran nilai RM120,000,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek terdiri daripada seorang bapa berusia 40 tahun yang bertindak sebagai ‘coordinator’ (mengurus) manakala anak lelakinya berusia 25 tahun sebagai ‘runner’ (menghantar).
“Premis berkenaan adalah milik mereka dan dadah dipercayai dihantar menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya.
Datuk Mohd Yusoff berkata, bekalan dadah itu dipercayai untuk pasaran dalam dan luar Kelantan.
“Berdasarkan jumlah rampasan ini, ia boleh memberi kesan kepada kira-kira 80,000 penagih dadah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan polis menyita premis berkenaan, sebuah kenderaan, motosikal serta wang tunai RM184,800 dan barang kemas, dengan keseluruhan rampasan termasuk dadah dianggarkan hampir RM1 juta.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari hingga 18 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.