
SAN ISIDRO, 14 April– Perbicaraan kes kematian legenda bola sepak, Diego Maradona, dimulakan semula pada Selasa selepas prosiding pertama terbatal tahun lalu akibat skandal penglibatan hakim dalam sebuah dokumentari.
- Tujuh profesional perubatan didakwa membunuh kerana kecuaian melampau semasa merawat Maradona.
- Jika sabit kesalahan, hukuman penjara antara lapan hingga 25 tahun menanti tertuduh.
- Perbicaraan akan memanggil kira-kira 120 saksi dan dijangka berterusan sehingga Julai untuk tentukan punca kematian.
Maradona meninggal dunia pada November 2020 akibat kegagalan jantung dan edema pulmonari akut, dua minggu selepas menjalani pembedahan otak.
Seramai tujuh ahli profesional perubatan, termasuk doktor dan jururawat, kini berdepan dakwaan pembunuhan akibat kecuaian melampau yang membawa maut ketika mengendalikan proses pemulihan mendiang.
Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara antara lapan hingga 25 tahun.
Bagaimanapun, pihak pembelaan menegaskan bahawa bintang Piala Dunia 1986 itu meninggal dunia akibat sebab semula jadi berpunca daripada sejarah kesihatannya yang merosot.
Perbicaraan berprofil tinggi yang akan memanggil kira-kira 120 saksi itu dijangka berlarutan sehingga Julai depan bagi menentukan sama ada kecuaian perubatan menjadi punca utama kematian ikon sukan tersebut. -AFP