Ghana lantik Queiroz, latih skuad bola sepak kebangsaan menjelang Piala Dunia

Ketua Jurulatih Ghana, Carlos Queiroz/REUTERS

LONDON, 14 April– Persatuan Bola Sepak Ghana pada Isnin (13 April) mengesahkan pelantikan Carlos Queiroz sebagai ketua jurulatih baharu bagi mengemudi pasukan kebangsaan itu menjelang kejohanan Piala Dunia akan datang.

Pelantikan pengendali kelahiran Portugal berusia 73 tahun itu bakal menyaksikan beliau mencatatkan rekod peribadi yang luar biasa dengan penampilan kelima berturut-turut di pentas bola sepak paling berprestij di dunia tersebut.

Queiroz menyertai skuad Black Stars selepas melepaskan jawatannya sebagai jurulatih Oman bulan lalu berikutan kegagalan pasukan dari Asia Barat itu melayakkan diri ke Piala Dunia 2026.

Kehadiran beliau dilihat sebagai langkah segera oleh badan induk bola sepak Ghana yang kini kesuntukan masa dalam mempersiapkan pasukan.

Skuad Ghana sebelum ini kehilangan ketua jurulatih hanya 72 hari sebelum sepak mula Piala Dunia selepas berpisah dengan Otto Addo.

Penyingkiran Addo adalah kesan langsung daripada prestasi hambar pasukan yang tewas dalam dua perlawanan persahabatan menentang Austria dan Jerman pada bulan Mac.

Sepanjang kerjaya kejurulatihannya, Queiroz mempunyai rekod yang cukup disegani.

Beliau pernah membawa Portugal ke pusingan 16 pada Piala Dunia 2010 dan kemudiannya mengendalikan Iran dalam tiga edisi terakhir, di mana beliau berjaya mencatatkan tiga kemenangan daripada 13 perlawanan.

Bekas penjaga gol yang dilahirkan di Mozambique itu juga memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa menerusi jawatan kejurulatihan di Mesir, Jepun, Colombia dan Afrika Selatan, selain pernah membimbing Portugal pada awal 1990-an.

Dalam saingan Piala Dunia kali ini, Ghana bakal berdepan tugas mencabar selepas diundi dalam Kumpulan L bersama-sama England, Croatia dan Panama. -REUTERS