
JASIN, 14 April- Polis sedang mengesan seorang pemandu bas ekspres lelaki dan seorang wanita yang dipercayai kenalannya bagi membantu siasatan berhubung satu rakaman video tular di media sosial yang memaparkan kejadian memandu dalam keadaan berbahaya di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di daerah ini baru-baru ini.
- Video lapan saat tunjuk wanita duduk atas riba pemandu ketika kenderaan bergerak.
- Kejadian dipercayai berlaku 12 April kira-kira 7.30 malam di susur masuk R&R Bemban arah selatan.
- Polis meminta individu terlibat tampil ke BSPT IPD Jasin untuk membantu siasatan.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; orang awam diminta salurkan maklumat kepada Insp Marwan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata video berdurasi lapan saat yang dimuat naik di Facebook itu menunjukkan wanita berkenaan duduk di atas riba pemandu ketika kenderaan sedang bergerak.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku pada 12 April lepas kira-kira 7.30 malam di kawasan susur masuk Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan dan rakaman video kejadian itu dikesan tular 13 April kira-kira 5.30 petang oleh pihak polis.
“Sehubungan itu polis memohon kerjasama individu yang terlibat dalam rakaman video berkenaan agar tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Lee berkata perbuatan itu amat berbahaya kerana boleh menjejaskan kawalan kenderaan, mengganggu tumpuan pemandu serta membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Insp Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.