Tiada perkampungan sukan, atlet SUKMA 2026 diberi subsidi

Gambar hiasan./foto BERNAMA

SUNGAI PETANI, 12 April – Setiap atlet yang bertanding dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 akan menerima subsidi penginapan sebanyak RM100 sehari bagi menggantikan ketiadaan perkampungan sukan pada edisi kali ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi sebagai langkah penjimatan kos oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.
  • Pengurusan kontinjen negeri bertanggungjawab mengurus penempatan atlet di lokasi pilihan masing-masing sepanjang temasya.
  • Penganjuran berskala kecil tidak menjejaskan kualiti prestasi atlet atau standard penganjuran; persiapan venue telah dimuktamadkan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufiq Johari berkata, keputusan tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA Khamis lalu sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan kos penganjuran oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurut beliau, menerusi mekanisme baharu itu, pihak pengurusan kontinjen negeri masing-masing akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan penempatan atlet di lokasi pilihan mereka sendiri sepanjang temasya berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan.

“Tiada perkampungan sukan kali ini dan setiap atlet diberikan subsidi RM100 untuk negeri masing-masing membawa serta menempatkan mereka di lokasi pilihan sendiri.

“Jadi, melalui langkah ini kita dapat melakukan penjimatan tanpa mengurangkan kualiti sukan mahupun kualiti penganjuran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Raya Pusat Khidmat Parlimen Sungai Petani di Sekolah Menengah Persendirian Sin Min, Taman Keladi, semalam.

Dr. Mohamed Taufiq menjelaskan bahawa walaupun penganjuran kali ini dilaksanakan secara berskala kecil namun ia sama sekali tidak akan menjejaskan kualiti prestasi atlet mahupun standard penganjuran keseluruhan.

Mengulas mengenai persiapan venue pertandingan, beliau mengesahkan perkara tersebut telah dimuktamadkan menerusi mesyuarat jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikannya baru-baru ini.