Operasi Pembenihan Awan dilaksanakan dalam dua fasa tahun ini

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup meninjau pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA).

SUBANG JAYA, 8 April – Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilaksanakan dalam dua fasa pada tahun ini. Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pelaksanaan fasa utama atau Siri 1 adalah pada 11 hingga 15 Februari lalu, manakala Siri 2 kini sedang dilaksanakan sejak 6 April sehingga esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan Siri 1 (11-15 Feb) dan Siri 2 (6 April hingga esok) di negeri terlibat: Kedah, Perak, Johor, dan Perlis.
  • Fokus kepada 11 empangan strategik bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi termasuk Empangan Pedu, Muda, Ahning dan Bukit Merah.
  • Langkah penting kerana fasa Peralihan Monsun, negara dijangka memasuki Monsun Barat Daya yang membawa cuaca lebih kering dan kurang hujan.
  • Kementerian memantau cuaca dan risiko kebakaran melalui FDRS, seru penjimatan air, elakkan pembakaran terbuka dan gunakan aplikasi myCuaca.

Pelaksanaan OPA Siri 1 melibatkan tiga buah negeri iaitu Kedah, Perak dan Johor, manakala Siri 2 melibatkan tiga negeri yang sama serta sebuah lagi negeri iaitu Perlis.

“Fokus utama diberikan kepada 11 empangan strategik termasuklah Empangan Pedu, Muda, Ahning, Timah Tasoh, Bukit Merah, serta Empangan Upper Layang dan Machap bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi.

“​Langkah ini amat penting memandangkan negara sedang dalam fasa Peralihan Monsun dan dijangka memasuki Monsun Barat Daya pada bulan Mei ini, yang lazimnya membawa keadaan cuaca lebih kering dan kurang taburan hujan. Kementerian (Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam) akan terus memantau rapi status cuaca dan risiko kebakaran hutan melalui sistem Fire Danger Rating System (FDRS),” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa menjimatkan penggunaan air, mengelakkan pembakaran terbuka, dan merujuk aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang sahih.

Semalam Datuk Seri Arthur bersama-sama meninjau proses OPA yang dilaksanakan di Subang, yang turut dihadiri Timbalan perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pelaksaan OPA sebagai langkah proaktif untuk meningkatkan paras air di empangan-empangan kritikal, melibatkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Malaysian Meteorological Department (MET Malaysia), dengan kerjasama strategik Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Jabatan Perdana Menteri dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).