
KUALA LUMPUR, 8 April – Pelarasan harga gas petroleum cecair (LPG) yang dipaparkan sebuah syarikat di Negeri Sembilan adalah melibatkan silinder gas komersial dan bukannya silinder gas domestik bersubsidi.
- KPDN segera memanggil syarikat untuk penjelasan berasaskan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
- KPDN mengingatkan segala kenaikan harga barang kawalan seperti LPG mesti dirujuk kepada pihak KPDN sebelum dilaksanakan.
- Pengguna digalakkan melaporkan maklumat tidak sahih atau aduan melalui WhatsApp 019-848 8000; Portal e-Aduan; pusat panggilan 1-800-886-800; aplikasi Ez ADU.
- Tular pelarasan harga LPG melibatkan C14C (14kg) naik RM14 per tong dan C50 (50kg) naik RM50 per tong.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi kenyataan memaklumkan, satu tindakan segera telah diambil bagi memanggil pihak syarikat berkenaan untuk mendapatkan penjelasan bersandarkan perundangan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
“Pihak KPDN juga ingin memaklumkan sebarang kenaikan harga barang-barang dalam senarai barang kawalan seperti LPG hendaklah dirujuk kepada pihak KPDN.
“Pengguna juga dinasihatkan untuk melaporkan sebarang maklumat tidak sahih atau memanjangkan aduan kepada KPDN di saluran WhatsApp 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my); pusat panggilan di talian 1-800-886-800; dan aplikasi Ez ADU KPDN,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini tular berkenaan pelarasan harga gas petroleum cecair (LPG) yang dilakukan sebuah syarikat di Negeri Sembilan.
Ia melibatkan C14C (14 kilogram komersial) iaitu kenaikan RM14 bagi setiap tong dan C50 (50 kilogram) dengan kenaikan RM50 setiap tong.