Lelaki maut dalam kemalangan kereta di Tunjong

MYVI mangsa yang remuk selepas kemalangan di Tunjong, Kota Bharu, malam tadi Foto RTM

KOTA BHARU, 6 April– Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera ringan dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan Tunjong, Kota Bharu,
malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perodua Myvi merempuh bahagian belakang lori yang dipandu lelaki berusia 30-an dari arah sama.
  • Pemandu Myvi berusia 40-an cedera parah di kepala dan badan, disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
  • Mayat dibawa ke unit Forensik HPUSM untuk bedah siasat; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Azmir Damiri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 11 malam .

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 30-an telah dirempuh dari belakang oleh sebuah Perodua Myvi yang datang dari arah yang sama.

Akibat perlanggaran itu pemandu Myvi yang berusia 40-an cedera parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan maut di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan.

Seorang lagi penumpang berusia 10 tahun mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala.

Mayat dibawa ke unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.