
KOTA TINGGI, 5 April — Seorang lelaki berusia 40 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam nahas jalan raya dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 17, Jalan Lok Heng–Mawai, di sini, pagi tadi.
- Polis menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira pukul 10.02 pagi.
- Ketua Polis Daerah Superintenden Yusof Othman mengesahkan maklumat dalam kenyataan rasmi.
- Penunggang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal di tempat kejadian.
- Mayat dihantar ke Unit Forensik hospital untuk tindakan lanjut; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.02 pagi.
“Nahas melibatkan sebuah MPV yang dipandu wanita tempatan berusia 40 tahun dan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa.
“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu MPV terbabit hanya mengalami kecederaan ringan, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.