Pelajar IPG lemas: Maritim Malaysia tidak terima makluman penganjuran program

Kerjasama awal dengan agensi keselamatan satu keperluan bagi mengelak kejadian tidak diingini serta melindungi nyawa peserta.

SUNGAI PETANI, 5 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak menerima sebarang makluman awal berhubung program pendidikan luar Institut Pendidikan Guru (IPG) di Pantai Merdeka, yang berakhir dengan tragedi lemas pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aktiviti berskala besar di perairan perlu dimaklumkan kepada agensi berkaitan.
  • Makluman awal membolehkan penilaian risiko dan pelaksanaan langkah keselamatan.
  • Pemantauan cuaca, arus laut dan kesiapsiagaan aset keselamatan mesti diberi perhatian.
  • Dua pelajar dilaporkan maut lemas; hubungi Pusat Operasi Maritim 04-7310579 atau 999 untuk kecemasan.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Noor Azreyanti Ishak menegaskan, sebarang aktiviti berskala besar di laut atau kawasan perairan terbuka seharusnya dimaklumkan kepada agensi berkaitan.

Langkah ini bagi membolehkan penilaian risiko dan langkah keselamatan dilaksanakan.

“Pemantauan cuaca, arus laut serta kesiapsiagaan aset keselamatan adalah antara perkara penting yang perlu diberi perhatian sebelum aktiviti dijalankan,” jelasnya.

Menurut beliau, kerjasama awal dengan agensi keselamatan satu keperluan bagi mengelak kejadian tidak diingini serta melindungi nyawa peserta.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, dua pelajar berkenaan ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti berkayak.

Mangsa dikenali sebagai Christopher Ling Jia Siang, 21 tahun dan Joey Ling Lin Siang, 20 tahun ditemukan kira-kira pukul 7.30 malam.

Sementara itu, orang ramai yang berdepan sebarang kecemasan di perairan Kedah boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 dan talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.