
KUALA LUMPUR, 1 April -CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 pada 4.8 peratus tahun ke tahun, disokong ruang fiskal yang menggalakkan serta momentum eksport yang kukuh.
- BNM menilai unjuran lebih optimistik berbanding MOF, mencerminkan momentum pertumbuhan yang lebih baik.
- Permintaan domestik kekal pemacu utama pertumbuhan, disokong ringgit lebih konstruktif serta eksport yang kukuh.
- Bank menjangka OPR tidak berubah tahun ini; jurang pengeluaran positif dan ketidaktentuan menambah julat pertumbuhan.
Firma pelaburan itu memaklumkan, unjuran pertumbuhan KDNK 2026 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) antara 4.0 hingga 5.0 peratus, adalah sedikit optimistik berbanding unjuran Kementerian Kewangan (MOF) pada 4.0 hingga 4.5 peratus, selari dengan momentum pertumbuhan yang lebih baik.
Bank itu menerusi nota penyelidikannya menjelaskan, mesej utama bagi 2026 kekal konsisten iaitu permintaan domestik akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong prospek ringgit yang lebih konstruktif serta kekuatan eksport Malaysia.
“Kami melihat masih terdapat kemungkinan Malaysia mampu mengharungi krisis dengan lebih baik daripada jangkaan, walaupun konflik di Asia Barat berpanjangan, berikutan ruang fiskal yang kukuh serta momentum eksport yang teguh.
“Bagi dasar monetari BNM, kami menjangkakan tiada perubahan kepada Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun ini, namun akan terus memantau risiko inflasi tarikan permintaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Public Investment Bank Bhd turut mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2026 pada 4.6 peratus.
Menurutnya, BNM menjangkakan jurang pengeluaran Malaysia kekal positif pada 2026, dengan potensi pertumbuhan antara 4.5 hingga 5.5 peratus.
“Ekonomi masih mempunyai sokongan domestik mencukupi untuk kekal dalam julat rasmi BNM, namun julat lebih luas 4.0 hingga 5.0 peratus juga mencerminkan ketidaktentuan yang lebih tinggi berbanding sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berpandangan unjuran BNM secara keseluruhan sejajar konsensus pasaran, mencerminkan pandangan lebih optimistik bank pusat terhadap pertumbuhan yang berpotensi mengatasi jangkaan.
”Julat 4.0 hingga 5.0 peratus adalah seiring dengan unjuran kami sebanyak 4.5 peratus serta unjuran institusi lain, menunjukkan asas ekonomi yang kukuh dan pelaksanaan reformasi struktur yang berterusan,” menurut kenyataan itu.